Abu Nawas dengan 3 soalan

Kononnya, pernah suatu ketika, baginda Sultan begitu murka dengan Abu NAwas. Baginda lalu memanggil Abu Nawas ke istana. Apabila Abu Nawas datang mengadap, Sultan terus bertitah, "Wahai Abu Nawas, esok beta mahu engkau memberi 3 jawapan kepada persoalan yang akan diajukan beta dengan hanya menggunakan bahasa isyarat sahaja. Jika engkau tidak dapat memberi jawapan kepada soalan-soalan yang diberikan itu, beta tidak akan teragak-agak untuk memisahkan kepala dari badanmu."

Tersentak Abu Nawas mendengar titah Sultan itu. Sultan nampaknya begitu serius hendak menyingkirkannya dari muka bumi ini. Kalau dia tidak dapat menjawab, dia tentu akan dipancung.

"Engkau boleh beredar sekarang & datang semula ke istana esok pagi" titah sultan lagi.
 

Abu Nawas pun beredar dari istana dengan seribu macam persoalan di kepala. "Apa nak jawab besok? Soalan jenis apa Sultan nak tanya hingga menggunakan bahasa isyarat saja? Soalan mudah atau soalan susah? Aduh...pening kepala dibuatnya.." Demikianlah antara pelbagai perkara yang bermain di fikiran Abu Nawas sambil dia mundar-mandir pulang ke rumah.

Di petang hari, selepas menunaikan solat Asar, Abu Nawas berehat di suatu tanah lapang sambil cuba memecah teka-teki sultan yang memeningkan kepalanya itu. Semasa dia sedang berseorangan mencari ilaham untuk berdepan dengan Sultan esok, sahabatnya si pengembala kambing sedang menjaga kambing-kambingnya yang meragut rumput di kawasan tanah lapang yang sama.

Melihat sahaja sahabatnya yang dalam keadaan bermuram durja, dia pun menghampiri Abu Nawas.

Pengembala: (dengan nada ceria) Assalamualaikum Abu Nawas!

Abu Nawas : (dengan nada muram) Waalaikumussalam...

Pengembala: Kenapa engkau nampak sedih saja? Ada ahli keluarga engkau mati ka?

Abu Nawas : Tidak ada yang mati hari ini, tapi akan ada yang mati esok..

Pengembala: Siapa? Ada ahli keluarga engkau dalam sakratulmaut ka?

Abu Nawas : Bukan anggota keluargaku yang nak mati. Akulah yang bakal mati!

Pengembala: Eh..! Soal mati ni engkau jangan nak buat main Abu Nawas.. Engkau sihat ja aku tengok ni, engkau ada penyakit kronik ka?

Melihat sahabatnya begitu prihatin terhadap dirinya, Abu NAwas pun menceritakan apa yang berlaku. Setelah bercerita panjang, Abu Nawas menambah, " Jadi engkau pun faham kan, kenapa aku akan mati esok. Mustahil aku dapat jawab soalan Sultan kalau soalannya hanya menggunakan bahasa isyarat macam nak berkomunikasi dengan orang pekak saja. Dah la tu.. soalannya bukan 1..tap 3!"

Si pengembala yang begitu khusyuk mendengar penjelasan Abu Nawas tadi merasa terpanggil untuk membuat sesuatu. Lagipun, Abu Nawas saja lah sahabat karibnya. Jika Abu Nawas dihukum bunuh, sahabatnya akan tinggal kambing-kambingnya sahajalah. Bukankah ini masanya untuk berkorban demi sahabat?

Pengembala: Abu Nawas, usahlah engkau bermuram durja. Esok, biarlah aku saja yang menjawab soalan Sultan.

Abu Nawas : Engkau sedar ke apa yang engkau katakan ni?

Pengembala: Engkau jangan bimbang, esok biar aku saja yang jawab..

Abu Nawas : Eh..engkau jangan cari pasal.. Nanti bukan setakat aku, engkau pun akan Sultan bunuh sekali!

Pengembala: Tak mengapa. Sekurang-kurangnya kita mati berjemaah. Lebih baik aku berjemaah dengan engkau dalam kubur, daripada aku berjemaah dengan kambing-kambing ini saja..

Mendengar penjelasan ikhlas dan kesungguhan sahabatnya itu, Abu Nawas pun bersetuju. Lagipun, dia memang tidak ada ilham langsung untuk berdepan dengan sultan esok.

Keesokannya...

Sultan : Bagaimana Abu Nawas, sudah bersediakah kamu untuk menjawab soalan-soalan beta?

Abu Nawas : Tuanku, patik rasa soalan-soalan yang hendak tuanku kemukakan hanya dengan bahasa isyarat ini terlalu mudah buat patik. Patik harap tuanku mengizinkan anak murid patik saja menjawab soalan tuanku itu.

Sultan : Tak jadi masalah. Tapi peraturannya sama. Kalau tak boleh jawab, beta akan hukum bunuh kamu & anak murid kamu sekali!

Sultan pun memandang kepada si pengembala kambing lalu berkata, "Engkau sudah bersedia?" "Sudah, tuanku!" Jawab si pengembala dengan penuh ketenangan. Belum pun Sultan bertanya soalan, Abu Nawas terus memejamkan mata rapat sambil berdoa memohon bantuan daripada Allah SWT.

"Baik, untuk soalan yang pertama!" Sultan secara sepontan menunjukkan isyarat SATU dengan menggunakan jari telunjuknya. Melihat bahasa isyarat itu, si pengembala terus menunjukkan isyarat DUA dengan menggunakan 2 jarinya seperti menunjukkan isyarat peace! Melihat saja tindak balas si pengembala, Sultan mengangguk-angguk kepalanya & terus berkata, "Betul!"

"Untuk soalan yang ke-2" Sultan membuat isyarat bulatan besar dengan kedua-dua tangannya. Habis saja Sultan membuat isyarat itu, si pengembala terus menunjukkan penumbuk dengan menggunakan tangan kanannya. Sultan mengangguk-angguk kepalanya & sekali lagi berkata "Betul!"

"Untuk soalan yang ke-3..." Sultan terus menunjukkan sebiji telur ayam kepada si pengembala. Melihat telur itu, si pengembala mengambil sebiji bawang besar yang terdapat dalam sebuah uncang yang memang sentiasa dibawanya ke mana-mana sahaja lalu terus menunjuk kepada Sultan.


Melihat saja bawang itu, Sultan terus menjerit, "BETUL!" sambil menepuk bahu Abu Nawas yang kebetulan masih memejamkan mata rapat berdoa dan berzikir memohon bantuan Allah SWT. Sultan terus berkata, "Patutlah engkau tidak mahu menjawab, anak muridmu pun sudah mampu menjawab semua soalan beta dengan begitu mudah."

Abu Nawas yang masih terpinga-pinga terkejut dengan sentuhan Sultan lalu menjawab, "Patik dah kata, perkara kecil macam ni, patik serahkan pada anak murid patik saja untuk selesaikan. Oleh kerana semua soalan sudah dijawab, patik berdua mohon diri untuk pulang ke rumah." mohon Abu Nawas untuk segera pulang takut-takut Sultan masih ingin bertanya soalan bonus. Sultan yang berpuas hati dengan jawapan si pengembala kambing tersebut lalu mengizinkan kedua-duanya pulang.

Apabila Abu Nawas & si pengembala beredar dari istana, pegawai-pegawai istana yang sudah tidak sabar-sabar ingin mengetahui apa yang ditanya sultan, terus bertanya kepada Sultan mengenai soalan-soalan yang telah diajukan kepada si pengembala tadi.

Sultan menjawab, "Beta katakan kepadanya segala urusan kehidupan agama berpaksi kepada konsep Tauhid dengan menunjukkan kepadanya isyarat SATU. Murid Abu Nawas menjawab, kalimahnya DUA yakni la ilaha illallah & Muhammad al-Rasulullah."

"Kemudian, beta katakan kepadanya seluruh alam ini milik Allah SWT dengan memberi isyarat bulatan besar & murid Abu Nawas menunjukkan penumbuknya tanda bersetuju bahawa seluruh alam ini berada dalam genggaman Allah SWT."

"Beta juga katakan kepadanya dunia ini bulat macam telur ayam & murid Abu Nawas menambah bumi ini terdiri daripada tujuh lapisan seperti kelopak-kelopak bawang itu."

"Beta tak sangka Abu Nawas mempunyai seorang murid yang sedemikian handal. Kalau begitulah kedudukan anak muridnya, tentu kehebatan Abu Nawas lebih terserlah lagi." Semua pegawai istama mengangguk-angguk kepala masing-masing tanda bersetuju dengan kenyataan Sultan.

Abu Nawas pula, setelah beredar dari istana, terus bertanya kepada si pengembala kambing, "Sahabatku, tadi Sultan tanya apa?" Si pengembala lantas menjawab, "Taka ada apa, perkara kecil saja. Dia mintak kepada aku seekor kambing dengan menunjuk isyarat SATU, aku katakan kepada Sultan, 2 ekor pon boleh, dengan menunjukkan isyarat DUA jariku kepada baginda."

"Tapi, Sultan ternyata tamak, dia minta semua kambingku melalui isyarat BULATAN BESAR dengan kedua-dua tangannya. Maka aku katakan, mana boleh! dengan menunjukkan isyarat penumbuk kepada Sultan."

"Sultan apabila melihat aku agak tidak selesa dengan permohonannya itu cuba bergurau dengan aku. Baginda mengambil sebiji telur ayam & mengatakan telur ini sedap kalau digoreng. Aku menjawab, kalau telur itu dicampur dengan bawang lagi sedap, dengan menunjukkan seulas bawang kepada baginda."

Abu Nawas terpegun dengan jawapan sahabatnya sambil berterima kasih kepadanya. Sahabat ini telah berjaya menyelamatkan dirinya..Namun, jauh di sudut hatinya, Abu Nawas yakin doanya telah dimakbulkan Allah SWT.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...