Antara Ilmu Dan Realiti

Dalam apa pun yang kita hendak buat kita perlu ada ilmu tentang perkara tersebut. Ilmu menjadi asas-nya. Namun, ilmu sahaja selalunya tidak memadai.

Begitu juga dalam hendak menilai atau hendak mengukur sesuatu perkara, tidak memadai kita mengukur sesuatu itu hanya dengan ilmu atau secara ilmiah semata-mata. Secara ilmiah, hanya akan tercetus ilmul yakin atau keyakinan yang berdasarkan kepada ilmu sahaja. Ilmul yakin masih terdedah kepada berbagai-bagai keraguan dan faktor-faktor yang belum tentu. Mungkin ilmu kita tidak tepat atau tidak cukup atau tidak mengikut dan tidak mengambil kira perubahan yang berlaku atau variasi yang wujud dalam satu-satu hal, perkara atau situasi itu.

Mendasarkan sesuatu kepada ilmu semata-mata tidak semestinya akan menghasilkan kepastian atau ketentuan yang nyata.

Justeru itu, di samping ilmu, kita mesti juga ukur sesuatu perkara itu dengan realiti. Realiti membuahkan kepastian dan ketentuan. Realiti mampu mencetuskan ainul yakin atau yakin yang berdasarkan realiti yang kita lihat yang tentunya lebih kuat dari ilmul yakin.

Contohnya, kita hendak mencipta suatu alat untuk membuat tali. Berdasarkan kepada ilmu dan kepakaran yang ada, mungkin kita akan dapat membuat lakaran teknikal atau technical drawing untuk membuat alat tersebut. Berikutan itu, kita mungkin juga akan dapat membuat alat tersebut di dalam workshop tepat dengan kehendak lakaran teknikal yang kita buat itu. Tetapi sama ada alat tersebut boleh berfungsi seperti mana yang kita kehendaki tidak dapat kita tentukan. Hasil ilmu dan kepakaran kita itu perlu dipastikan dengan ujian-ujian praktikal untuk menentukan ia benar-benar boleh berfungsi. Ujian praktikal ini sebenarnya ialah ukuran realiti. Kalau secara realitinya alat tersebut boleh digunakan untuk membuat tali, maka barulah ia dianggap berjaya. Kalau tidak, pembetulan, ubah suai dan pelarasan perlu dibuat terhadap alat tersebut sehingga segala masalah dapat diatasi.
Begitu juga kalau kita mencipta suatu resipi masakan. Memang, kita boleh masak mengikut resipi yang kita cipta itu. Akan tetapi, berjaya atau tidak, sedap atau tidak resipi tersebut perlu ditentukan dengan ujian cita rasa. Kita mesti rasa hasil masakan resipi itu. Baru kita tahu ianya baik atau tidak. Merasa masakan inilah yang dinamakan ukuran berdasarkan realiti seperti dalam peribahasa Inggeris, " the proof of the pudding is in the eating".

Begitulah juga dengan ciptaan kereta, kapal atau pesawat terbang. Setakat mana hebat pun ilmu dan kepakaran yang digunakan, prototaipnya mesti melalui berbagai-bagai ujian realiti sebelum ianya diluluskan untuk kegunaan umum.

Kalau tidak, akan terjadilah apa yang telah berlaku kepada kapal Titanic yang tenggelam di Lautan Atlantik pada pelayaran sulungnya. Kapal yang dikatakan hebat, sink proof (tidak boleh karam) dan termoden itu, nyata pada realitinya adalah kapal yang tidak selamat. Keluli yang digunakan untuk membuat badan kapal itu tidak tahan suhu sejuk. la menjadi rapuh dan mudah pecah apabila terlanggar bongkah ais (ice-berg).

Pernah berlaku di bandar raya Kuala Lumpur, pihak yang merancang pengawalan lalu lintas dengan menggunakan sistem berkomputer terlalu yakin dengan ilmu mereka. Mereka berkata sistem berkomputer mereka cukup canggih tetapi keberkesanannya telah diganggu oleh polis trafik yang mengawal lalu lintas secara manual. Lantas pihak polis trafik menarik semua anggota-anggota kawalan trafik mereka supaya tidak keluar mengawal lalu lintas.

Maka berlakulah huru-hara jalan raya yang terbesar yang pernah dialami oleh bandar raya Kuala Lumpur. Ibarat peri-bahasa Inggeris, " All hell broke loose" . Ramai yang lambat sampai ke pejabat. Ramai yang lambat balik ke rumah dari pejabat. Ramai yang tidak dapat ke masjid, kerana peristiwa itu berlaku pada hari Jumaat. Selepas polis trafik dirayu agar bertugas semula, barulah keadaan menjadi reda dan kembali normal. Inilah kesan buruk menilai sesuatu dengan ilmu semata-mata tanpa diukur dengan realiti.

Perkara ini ada juga relevannya dengan kaedah mentafsir atau memahami ayat-ayat Quran atau Hadis. Kita bawa beberapa contoh.

Firman Allah SWT:
Maksudnya:
"Berpeganglah kamu pada tali-tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah." (Ali Imran: 103)

Kebanyakan ulama mentafsirkan tali-tali Allah itu sebagai syariat Islam. Mereka mentafsirkan, kalau semua orang Islam sama-sama berpegang dan mengamalkan syariat Islam maka mereka akan bersatu padu. Itu ilmunya. Tetapi, realiti yang kita lihat tidak begitu. Ramai orang-orang Islam yang sama-sama sembahyang, berpuasa, berzakat dan pergi menunaikan haji tidak bersatu padu.

Malahan dalam satu masjid pun mereka bergaduh. Masjid dan surau sekarang ini bukan lagi tempat berkasih sayang dan bermasyarakat tetapi telah menjadi tempat pergaduhan, perbalahan, perebutan pengaruh dan jawatan dan pecah belah. Sesama ahli jawatankuasa masjid pun berlaku perbalahan dan rebutan kuasa. Tidak kurang juga umat Islam bergaduh semasa menunaikan haji. Yang bunuh membunuh pun ada.

Tafsiran seperti ini tidak meyakinkan sebab ia bercanggah dengan realiti. Namun ada tafsiran ulama-ulama lain yang lebih meyakinkan dan lebih hampir kepada realiti. Mereka mentafsirkan tali-tali Allah itu bukan setakat syariat Islam tetapi ialah rasa cinta dan rasa takut kepada Allah. Kalau semua umat Islam sama-sama cinta dan takut kepada Allah, maka Allah akan ikat hati-hati mereka dan mereka akan berkasih sayang di antara satu sama lain.

Dalam sepotong ayat yang lain pula, Allah SWT berfirman:
Maksudnya:
"Yang paling bertaqwa di kalangan hamba-hamba-Ku ialah ulama." (Al Fathir: 28)

Tetapi kita lihat ini terlalu jauh dari realiti. Ramai ulama yang tidak bertaqwa. Ada yang terang-terangan terlibat dengan maksiat. Ramai yang terpengaruh dan tertambat hati dengan dunia dan kepentingan peribadi. Ramai yang akhlak mereka menjadi tanda tanya. Ramai pula yang menjual ayat-ayat Allah dengan nilai dunia yang sedikit.

Lebih hampir kepada realiti kalau istilah "ulama" di dalam ayat ini dimaksudkan kepada "ulama ul amilin" atau ulama yang beramal dengan ilmu mereka dan bukan semua atau sebarang ulama. Ini dikuatkan lagi dengan Hadis Rasulullah SAW yang menyatakan tentang wujudnya "ulama` suuk" atau ulama jahat yang kerja mereka ialah merosakkan manusia. Jadi, bukan semua ulama itu bertaqwa.

Rumusannya, kita perlu jadikan realiti itu sebagai satu bentuk ukuran yang patut diguna pakai di mana boleh, dalam kita menilai sesuatu perkara. Ini kerana ia lebih hampir kepada kebenaran. Justeru itu, kita akan lebih yakin dan lebih adil dalam kita membuat penilaian. Penilaian dengan ilmu tidak salah. Tetapi di mana realiti boleh digunakan, kita patut bersandar kepada realiti lebih daripada kita bersandar kepada ilmu semata-mata.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...