Usia Siti Aishah Semasa Kahwin

DISAMPAIKAN kepada kami (al-Bukhari) oleh Ubaid ibn Ismail yang mendengar daripada Abu Usamah daripada Hisyam daripada ayahnya (yang bernama Urwah) yang berkata: Khadijah meninggal dunia tiga tahun sebelum Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah dan baginda kemudiannya menduda selama dua tahun atau mendekati dua tahun sebelum hijrah (ke Madinah) setelah itu Siti Aishah menikah (dengan Nabi) pada umur enam tahun dan tinggal serumah (dengan Nabi Muhammad) tatkala berumur sembilan tahun.

Hadis di atas adalah satu-satunya hadis yang dianggap paling kuat mengenai umur sebenar Siti Aishah ketika bernikah dengan Rasulullah s.a.w, iaitu enam tahun.

Namun hadis inilah yang kesahihannya dipertikaikan walaupun ia dianggap muktabar kerana merupakan salah satu hadis yang terkandung dalam kumpulan hadis Sahih Bukhari.

Sebabnya, kita maklum bahawa setiap hadis yang dikumpulkan oleh Bukhari di anggap rujukan yang paling utama dalam Islam selepas al-Quran.

Terutama yang melibatkan soal halal dan haram serta perintah larangan dan suruhan maka segala aspek mengenai sanad dan perawi-perawi hadis akan diperiksa dengan ketat.

Bagaimanapun, apabila melibatkan riwayat mengenai kisah hidup Siti Aishah terutama umurnya waktu bernikah dengan Nabi Muhammad dikatakan hadis oleh Bukhari ini boleh disemak kembali kesahihannya.

Ini kerana ia tidak melibatkan soal hukum, halal atau haram maka dianggap kurang penting untuk dipastikan soal ketepatan perawi hadis mengenai Siti Aishah ini.

Lalu ini dijadikan alasan oleh sesetengah pihak untuk mendapatkan fakta yang sebenar di sebalik 'nikah 6' dan 'kumpul 9 tahun' - perkahwinan Ummul Mukminin dengan Rasulullah ini.

Kalau dikatakan Siti Aishah berkahwin dengan Rasulullah pada umur enam tahun dan baginda sendiri berumur 51 tahun ketika itu, maka ini bermakna isteri baginda itu dilahirkan ketika Rasulullah berusia 45 tahun. Iaitu lima tahun selepas baginda diangkat sebagai Rasul, pada usia 40 tahun.

Sedangkan dikatakan ketika baginda diangkat sebagai Rasul itu pernah disaksikan sendiri oleh Siti Aishah.

Sebabnya, beliau adalah antara yang golongan yang paling awal memeluk Islam, iaitu menduduki tempat ke-18 sebagaimana yang dicatat oleh Ibnu Ishaq dalam kitab sejarahnya Sirah An Nabawiyyah.

Dengan lain perkataan Siti Aishah memeluk Islam ketika usia masih kecil lagi (bukannya bernikah ketika usia yang sangat muda).

Urutan nama-nama sahabat Rasulullah yang awal memeluk Islam (As-Sabiqun al-Awwalun) menurut Ibnu Ishaq;

1) Ali ibn Abi Talib,

2) Abu Bakar As Siddiq,

3) Zaid ibn Haritsah,

4) Uthman bin Affan,

5) Zubair ibn Al Awwam,

6) Abdul Rahman ibn Auf,

7) Saad ibn Abi Waqas,

8) Thalhah ibn Ubaidillah,

9) Abu Ubaidah Al Jarrah,

10) Arqam ibn Al Arqam,

11) Utsman ibn Mazh'un,

12) Quddamah ibn Mazh'un,

13) Abdullah ibn Mazh'un,

14) Ubaidah ibn Harits ibn Muththalib,

15) Said ibn Zaid,

16) Fathimah binti Umar ibn Al Khattab,

17) Asma binti Abu Bakar,

18) Siti Aishah binti Abu Bakar.

Jadi tidak mungkin semasa Rasulullah diangkat menjadi nabi akhir zaman, Siti Aishah belum lahir.

Malah dikatakan Siti Aishah memeluk Islam ketika berusia tujuh tahun, satu angka yang dikatakan sesuai bagi seorang kanak-kanak memahami soal agama dan memilih agama yang dianggapnya benar dan boleh diikut.

Justeru apabila Aishah memeluk Islam berusia tujuh tahun ketika Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul dan menikah dengan baginda ketika baginda berusia 51 tahun ini bererti mereka bernikah ketika Siti Aishah berusia 18 tahun (51-40>11)+7 > 18 tahun.

Ini bermakna mereka tinggal hidup bersama sebagai suami isteri ketika Siti Aishah berusia 21 tahun ketika Rasulullah sendiri berusia 54 tahun.

Siti Aishah Difitnah

AISHAH binti Abu Bakar dilahirkan pada Tahun 614 Masihi di kota Mekah. Ayahnya adalah Abu Bakar As-Siddiq dan ibunya adalah Ummu Ruman binti Amir.

Antara adik-beradiknya, yang terkenal adalah Asma binti Abu Bakar dan Muhammad bin Abu Bakar. Abu Bakar as-Siddiq merupakan lelaki pertama yang memeluk agama Islam dan merupakan orang kanan nabi Muhammad. Aishah telah bernikah dengan nabi sebagai isteri ketiganya selepas Khadijah binti Khuwalid dan Saudah binti Zamah.

Aishah adalah seorang tokoh wanita yang tersohor pada zamannya. Beliau sangat bijaksana, cerdik dan fasih dalam pengucapannya.

Aishah menjadi rujukan dalam bidang ilmu teologi dan hukum agama kerana beliau berpeluang mempelajari banyak ilmu melalui nabi sewaktu menjadi isterinya.

Aishah mendapat gelaran 'as-Siddiqah' kerana Allah telah menguji kejujuran, kepercayaan dan kesucian beliau dalam satu peristiwa. Beliau juga mendapat gelaran Humaira yang bermaksud mawar merah kerana paras rupanya yang cantik dan menawan.

Aishah menyaksikan pelbagai peristiwa penting yang membentuk pelbagai aspek masyarakat Islam pertama di kota Madinah. Antaranya adalah perubahan arah kiblat dari Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis ke Kaabah di Mekah. Beliau juga terlibat dan menyaksikan peperangan Badar, Uhud dan Khandak di antara pihak Islam dan pihak bukan Islam Quraisy.

Aishah membantu pihak Islam dengan membawa minuman dan merawat luka tentera Islam yang cedera. Keberanian dan kecekalan Aishah di medan peperangan harus menjadi panduan kepada generasi remaja pada hari ini untuk menghadapi cabaran hidup yang semakin mencabar.

Setiap kali nabi memulakan sesuatu ekspedisi peperangan, beliau akan membawa salah seorang isterinya untuk menemaninya dengan menggunakan undian.

Aishah terpilih untuk menemani nabi dalam ekspedisi peperangan terhadap Bani Mustaliq. Sewaktu pulang ke kota Madinah, rombongan nabi telah singgah di satu perhentian untuk berehat seketika pada waktu malam.

Aishah keluar dari kawasan khemah untuk membuang air. Ketika pulang semula ke kawasan khemah selepas membuang air, beliau mendapati rantainya hilang.

Aishah berjalan semula ke tempat beliau membuang air untuk mencari rantainya. Setelah mencari untuk jangka masa panjang, rantai itu berjaya ditemuinya.

Apabila pulang semula ke kawasan khemah, rombongan nabi sudah beredar tanpa mengetahui Aishah tiada dalam rombongan mereka. Aishah tidak panik atau berasa takut kerana tahu rombongan itu akan kembali jika menyedari dirinya tiada dalam rombongan mereka. Beliau menyelimutkan dirinya lalu baring sambil menunggu rombongan nabi berpatah balik. Namun tiada siapa yang datang sehingga Aishah tertidur dengan nyenyak.

"Kasihan! Isteri nabi ditinggalkan seorang diri di sini." jerit Safwan bin Muatal yang lalu di kawasan Aishah sedang baring pada keesokan hari.

Aishah yang terkejut dengan jeritan itu bangkit dan menutup mukanya dengan selimut. Safwan membawa untanya lalu mendudukkannya sebelum beredar jauh dari Aishah.

Safwan menarik unta yang ditunggang oleh Aishah dengan pantas menuju ke Kota Madinah. Kepantasan Safwan menarik unta itu menyebabkan Aishah tiba di kota Madinah tidak berapa lama selepas ketibaan rombongan nabi.

Abdullah bin Ubay, Mistah bin Athathah, Hassan dan Hamnah, sepupu Zainab binti Jahsy berpakat memfitnah Aishah bahawa beliau berlaku curang dengan Safwan. Khabar fitnah ini bertiup kencang di Kota Madinah sehingga tiba di cuping telinga nabi.

Nabi menjadi bingung mendengar berita ini dan mula bersikap dingin terhadap Aishah. Beliau mula merasakan perubahan pada diri nabi terhadapnya sehingga beliau meminta izin nabi untuk pulang ke rumah ibu bapanya buat sementara waktu.

Apabila Aishah pulang ke rumahnya, ibu sepupunya memberitahu khabar fitnah itu kepada beliau. Aishah terkejut dan menangis tersedu-sedu sehingga terasa jantungnya berdegup dengan begitu kencang.

Beliau berlari ke rumah untuk mengadu pada ibunya tentang fitnah yang dilemparkan pada dirinya. Ibunya menasihatkan agar tidak sedih dengan khabar fitnah itu kerana wanita cantik yang dicintai suaminya dan menjadi madu sentiasa menjadi buah mulut orang.

Nabi yang gelisah menemui Ali dan Usamah bin Zaid untuk bertanya pendapat mereka. Usamah tidak percaya langsung pada fitnah yang dilemparkan pada Aishah. Ali mencadangkan agar bertanya pada pembantu Aishah tentang perkara itu.

Pembantu Aishah menyatakan tuannya adalah seorang wanita yang baik. Akhirnya nabi mengambil keputusan untuk berjumpa isterinya untuk menjelaskan perkara sebenarnya kepadanya.

"Aishah, kamu sudah mengetahui tentang apa yang dikatakan oleh orang ramai. Takutlah kamu pada Allah jika kamu telah melakukan sesuatu kejahatan seperti yang dikatakan oleh orang ramai. Bertaubatlah kepada Allah kerana Allah menerima segala taubat hambanya."

Aishah menjadi marah dan menoleh ke arah ayah dan ibunya. Namun tiada jawapan yang keluar dari mulut mereka. Beliau mula menangis dan berkata, " Kamu semua telah mendengar segala-segala-galanya tentang diri saya dan mempercayainya.

"Saya tahu jika saya memperakui apa yang dikatakan oleh orang ramai walhal Allah mengetahui saya tidak bersalah, bermakna saya memperakui sesuatu yang tidak benar.

"Namun sekiranya saya membantah apa yang mereka katakan, kamu semua tak akan percaya.

"Saya hanya boleh katakan apa yang dikatakan oleh ayah nabi Yusuf, maka sabar itulah yang baik dan hanya Allah tempat meminta pertolongan atas segala yang kamu lakukan."

Keadaan menjadi sunyi sepi. Apakah yang akan berlaku? Tiba-tiba wahyu turun ketika nabi hendak meninggalkan rumah Abu Bakar. Wajah nabi penuh dengan peluh walaupun pada ketika itu cuaca begitu sejuk.

Semua yang hadir di rumah itu senyap dan menarik nafas panjang. Setelah wahyu habis turun, wajah nabi kelihatan gembira.

"Allah telah menurunkan wahyu membuktikan kesucian kamu!" kata nabi yang kemudian membacakan 10 ayat dari surah al-Nur 11 ayat 26.

Turunnya ayat ini menunjukkan Aishah dan Safwan bersih daripada semua tuduhan yang dilontarkan kepada mereka. Nabi merupakan orang yang paling baik dan sudah pasti wanita yang paling baik pula yang menjadi isterinya.

Aishah meninggal dunia pada zaman khalifah Muawiyah ketika berusia 67 tahun. Jenazahnya dikebumikan di Jannat al-Baqi seperti wasiatnya. Jenazah beliau dimakamkan oleh Abu Hurairah yang menjadi Gabenor Mekah pada masa itu.

Al-khansa Penyair Tersohor


TUMADHAR binti Amru yang lebih terkenal dengan gelaran al-Khansa. Dia merupakan seorang penyair tersohor dalam kesusasteraan Arab.

Al-Khansa berasal dari keturunan Muzar dan mempunyai dua saudara lelaki iaitu Muawiyah dan Sakhr. Ayah al-Khansa ialah ketua keturunan Muzar.

Ayahnya telah memberikan nama Tumadhar kepadanya kerana memiliki kulit yang putih melepak dan cantik. Ini adalah kerana masyarakat Arab pada ketika itu, menamakan anak perempuan mereka yang kulit putihnya dengan gelaran Tumadhar.

Al-Khansa merupakan seorang wanita yang sempurna akal dan jiwanya. Dia merupakan seorang fasih berbicara dan bijaksana dalam menyusun perkataan dalam ucapannya.

Kedua-dua saudara lelaki dan ayahnya selalu memuji kepintaran dan kebijaksanaan al-Khansa dalam berbicara. Al-Khansa pula sangat menyayangi kedua saudara lelakinya dan bangga dengan kemampuan fizikal dan mental yang dimiliki oleh mereka berdua.

Al-Khansa berkahwin dengan Rawahah bin Abdul Aziz dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Abdullah. Walau bagaimanapun, usia pernikahan itu tidak bertahan lama apabila suaminya meninggal pada usia muda.

Kemudian dia bernikah pula dengan seorang pemuda bernama Abdul Azza. Hidup menjadi malang kerana Abdul Azza adalah seorang yang boros dan suka berjudi.

Akhirnya keluarga al-Khansa tidak memiliki apa-apa akibat sikap suaminya yang suka berjudi sehingga habis semua harta bendanya.

"Saya mahu keluar dari rumah ini. Tak ada wang atau harta yang boleh saya gunakan untuk berjudi," kata Abdul Azza pada suatu hari.

"Jangan tinggalkan kami. Saya akan pergi berjumpa dengan Sakhr untuk meminta bantuan wang darinya," pujuk al-Khansa kepada suaminya yang sudah membungkus pakaiannya.

"Baiklah. Saya akan tinggal di sini jika kamu pulang dengan wang nanti," Abdul Azza tidak jadi keluar dari rumahnya.

Al-Khansa berjumpa Sakhr dan mengadukan sikap suaminya yang suka berjudi sehingga mereka tidak memiliki apa-apa harta benda. Sakhr yang simpati dengan saudara perempuannya akhirnya memberikan separuh dari hartanya kepada al-Khansa bagi membantunya.

Namun sikap suaminya yang suka berjudi masih juga tidak berubah. Abdul Azza berjudi lagi sehingga harta yang diberikan oleh Sakhr juga habis.

Al-Khansa berjumpa Sakhr buat kali kedua bagi memohon bantuan kewangan dan sekali lagi dia memberikan separuh lagi hartanya kepada al-Khansa untuk membantunya. Harta yang diberikan oleh Sakhr habis digunakan oleh Abdul Azza bagi berjudi sehingga keluarga al-Khansa tidak memiliki apa-apa.

"Suami al-Khansa itu suka berjudi. Semua bantuan kewangan yang diberikan kepada al-Khansa tidak ada faedah selagi suaminya tak berhenti bermain judi.

"Berikanlah satu perlima harta sahaja daripada harta kamu jika kita masih bersaudara dengan al-Khansa. Saya yakin wang itu pun akan dihabiskan oleh suaminya untuk berjudi.

"Kebaikan dan kejahatan ada pada diri suaminya," nasihat isteri Sakhr kepada Sakhr apabila al-Khansa datang lagi buat kali ketiga bagi mendapatkan bantuan kewangan.

"Al-Khansa adalah saudara saya. Saya tidak mahu berkira menolongnya. Saya akan bahagikan harta yang ada kepada dua bahagian. Al-Khansa, ambil bahagian yang paling baik bagi diri kamu," Sakhr tidak terpengaruh dengan nasihat isterinya kerana terlalu sayang pada saudara perempuannya.

Abdul Azza akhirnya meninggal dunia tidak berapa lama kemudian. Selepas itu al-Khansa berkahwin dengan Mirdas bin Ali Ameer dan mendapat lagi tiga anak lelaki.

Al-Khansa mula menulis dan membaca syair setelah kematian Muawaiyah. Muawiyah terbunuh dalam pertempuran dengan Hashim dan Zaid dari keturunan Murrah.

Ini menyebabkan Sakhr memikul tanggungjawab menuntut dendam ke atas kematian saudaranya. Sakhr dapat membunuh empat orang lelaki keturunan Murrah untuk membalas dendam ke atas kematian Muawiyah.

Ini merupakan adat yang diamalkan oleh kabilah kaum Arab sebelum kedatangan Islam.

Namun demikian keberanian Sakhr itu telah membawa kepada kematiannya. Ini berlaku apabila Sakhr terpanggil untuk menentang keturunan Ashar yang menyerang orang-orangnya.

Dia mendapat luka akibat tikaman lembing Abu Saur al-Asadi yang menentangnya dalam serangan itu. Luka itu sembuh pada luaran tetapi Sakhr tidak sedar pendarahan dalaman badannya telah meragut nyawanya tiga tahun kemudian.

Al-Khansa sedih dan sayu dengan kematian saudara lelaki yang disayanginya. Dia mula menulis pelbagai syair yang ditujukan khas buat Sakhr untuk menyatakan kesedihan dan duka citanya di atas kehilangan Sakhr.

Akhirnya syair-syair itu menjadi syair yang paling terkenal dalam bidang syair duka cita dan kesedihan. Di antara syair yang bagus yang al-Khansa ciptakan adalah:

Kedua mataku menangis dan tiada akan membeku

Bagaimana mata tidak menangis untuk Shakhr yang mulia

Bagaimana mata tidak menangis untuk sang pemberani

Bagaimana mata tidak menangis untuk seorang pemuda yang luhur

Bagaimana mata tidak menangis untuk seorang ketua kabilah yang gagah

Pada suatu hari al-Khansa datang bersama kaumnya dari keturunan Salim berjumpa dengan nabi Muhammad untuk memeluk agama Islam. Nabi selalu meminta al-Khansa membaca syairnya. Nabi telah memuliakan al-Khansa sebagai pakar dalam bidang syair dalam satu pertemuannya dengan Adi bin Hatim.

"Ya Rasulullah, sesungguhnya antara kami ada orang yang pakar dalam syair, ada juga orang yang paling dermawan di antara manusia dan orang yang pakar dalam menunggang kuda," kata Adi bin Hatim kepada nabi yang sedang duduk di rumahnya.

"Siapakah mereka?" tanya nabi.

"Orang yang pakar bersyair ialah Qais bin Hajar, manakala orang yang paling dermawan ialah Hatim bin Sa'ad (ayah Adi) dan orang yang pakar dalam menunggang kuda ialah Amru bin Maarib," jelas Adi bin Hatim dengan bangga.

"Tidak benar apa yang kamu ucapkan tadi. Orang yang pakar bersyair ialah al-Khansa binti Amru, orang yang paling dermawan ialah Muhammad bin Abdullah dan orang yang pakar dalam menunggang kuda ialah Ali bin Abu Talib," kata nabi setelah mendengar penerangan Adi bin Hatim itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...