Kisah Penjual Tempe

Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Di situ ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup.Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi. Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah memang kesemuanya belum masak lagi.

Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat Allah SWT dapat melakukan perkara-perkara ajaib, bahawa bagi Tuhan tiada yang mustahil. Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa , "Ya Allah , aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin"

Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa Tuhan pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya. Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Tuhan.

Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi."Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin".

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!!

Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul. Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yg sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu.

Perempuan tua itu pun berserah pada Allah SWT dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak.

Dia berfikir mungkin keajaiban Allah SWT akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. "Ya Allah, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin". Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya.

Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.

Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun muram seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Tuhan kerana doanya tidak dikabulkan.

Dia berasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi.

Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi,para pembeli sudah mula kurang. Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Allah SWT, pasti Allah akan menolongnya.

Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, "Ya Allah, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ni." Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita.

"Maaf ya Makcik, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi."

Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya "Ya Allah, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin".

Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Allah SWT.

Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu. Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, "Mengapa anak hendak membeli tempe yang belum jadi?"

Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England, si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.

Perempuan tua itu yang masih dalam keadaan terkejut, mengalirkan air matanya. Tidak menyangka bahawa betapa besarnya kuasa Allah SWT dan betapa sayangnya Allah SWT pada hambanya dan memberikan keajaiban kpd hambanya.

Tempe yang tidak menjadi , difikirkannya sebagai satu keburukan akhirnya menjadi satu kebaikan. Perempuan tua itu menadah tangan tanda syukur, setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Hikmah yang kita sendiri tidak dpt fikirkan dan berada di luar jangkauan kita. Dalam diam dia berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Allah SWT.

10 Fitrah Manusia Cantik

1. Membetulkan misai. Lelaki yang menyimpan misai harus memastikannya dalam keadaan terurus dan digunting apabila perlu agar ia sentiasa kelihatan kemas dan bersih. Jika perempuan tumbuh misai, maka wajiblah dibuang.

2. Menjaga janggut. Menyimpan janggut adalah salah satu daripada sunnah Rasulullah s.a.w. Bagaimana pun, dalam masa yang sama ia mesti dijaga rapi.

3. Memendekkan kuku. Segala kotoran tidak melekat serta memudahkan air sembahyang sampai ke celah-celah kuku jika ia dipendekkan.

4. Membersihkan sendi tangan. Memastikan celah-celah jari serta tangan sentiasa digosok dan dibersihkan sebagaimana yang dianjurkan semasa mengambil wuduk.

5. Membersihkan sendi kaki. ia boleh dilakukan semasa mengambil wuduk atau semasa mandi.

6. Kebersihan hidung. Dengan beristinsyaq atau menyedut air ke dalam hidung dan menghembuskannya. Selain membersih, ia juga mengelakkan sebarang penyakit yang berkaitan dengan hidung.

7. Mencabut dan membersihkan bulu ketiak. Islam tidak menggalakkannya dicukur kerana ia akan menyebabkan bulu ketiak cepat tumbuh dan lebih kasar.

8. Kebersihan mulut. Dengan menggosok gigi atau bersiwak ketika berwuduk, sebelum solat, ketika mulut berbau, ketika masuk rumah, bangun tidur dan ketika hendak belajar.

9. Mencukur bulu ari-ari. Islam tidak menggalakkan dicabut kerana akan mengendurkan otot-otot di sekitarnya.

10. Mencebuk air. (mandi dan membasuh bahagian sulit). Wanita diwajibkan berdehem semasa membuang air kecil agar ia tidak bersisa.

19 Tanda Kematian Yang Mulia (Khusnul Khotimah)

Pertama: Mereka yang dapat mengucapkan syahadah menjelang kematian sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis sahih, antaranya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang ucapan terakhirnya ‘Laa ilaaha illallah’, maka dia masuk syurga.” (Hadis Hasan)

Ke-2: Kematian yang disertai dengan basahnya kening dengan keringat atau peluh berdasarkan hadis Buraidah bin Hushaib r.a: Dari Buraidah bin Khusaib RA bahawa ketika dia berada di Khurasan sedang membesuk seorang sahabatnya yang sakit dia mendapatinya sudah meninggal tiba-tiba keningnya berkeringat maka dia berkata: “Allahu Akbar!, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kematian seorang mukmin disertai keringat di keningnya.” (Hadis Sahih)

Ke-3: Mereka yang (baik-baik dan soleh) meninggal dunia pada malam Jumaat atau siangnya berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Tidaklah seorang Muslim yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat melainkan Allah melindunginya daripada seksa kubur.”

Ke-4: Meninggal dalam keadaan syahid di medan perang sebagaimana artinya: “Dan janganlah sekali-kali kamu mengira bahawa orang-orang yang terbunuh di jalan Allah mati, tetapi mereka hidup diberi rezeki di sisi Tuhan mereka. Mereka bergembira dengan kurnia yang diberikan Allah kepada mereka dan memberi khabar gembira kepada orang yang belum mengikuti mereka di belakang janganlah mereka takut dan sedih. Mereka memberi khabar gembira dengan kenikmatan dari Allah dan kurniaNya dan bahawa Allah tidak mensia-siakan balasan bagi orang-orang beriman.” (QS Ali Imran:169-171)

Ke-5: Mereka yang meninggal dunia ketika berjuang di jalan Allah (bukan terbunuh) berdasarkan sabda Rasulullah SAW:“Barang siapa yang terbunuh di jalan Allah syahid, barang siapa yang mati di jalan Allah syahid, barang siapa yang mati kerana wabak taun syahid, barang siapa yang mati kerana penyakit perut syahid dan orang yang tenggelam syahid.”

Ke-6: Mati kerana satu wabah penyakit tahun berdasarkan beberapa hadis antaranya: Rasulullah SAW bersabda: “Wabah tahun adalah kesyahidan bagi setiap Muslim.”

Daripada Aisyah RA, ia bertanya kepada Rasulullah mengenai wabak taun. Rasulullah SAW menerangkan bahawa wabak taun itu adalah satu azab (bala) daripada Allah yang diantar kepada siapa yang dikehendakinya, dan Allah menjadikannya sebagai rahmat bagi hambanya yang beriman. Maka seseorang (Mukmin) yang berada di daerah yang ditimpa wabak taun, dan terus tinggal di situ dan bersabar menghadapi bala itu serta mengetahui yang dia tidak akan terkena kecuali menurut apa yang telah ditentukan Allah. Baginya pahala seperti pahala orang yang mati syahid.

Ke-7: Mereka yang mati kerana penyakit dalam perut berdasarkan hadis di atas.

Ke-8 dan ke-9: Mereka yang mati kerana tenggelam dan terkena runtuhan berdasarkan sabda Nabi SAW: “Syuhada ada lima: yang mati kerana wabak taun, karena penyakit perut, yang tenggelam, yang terkena runtuhan dan yang syahid di jalan Allah.”

Ke-10: Matinya seorang wanita dalam nifasnya disebabkan melahirkan anaknya: Dari Ubadah bin Shamit RA bahawa Rasulullah SAW menjenguk Abdullah bin Rawahah RA dan berkata: Beliau tidak berpindah dari tempat tidurnya lalu berkata: “Tahukah kamu siapa syuhada’ dari umatku?” Mereka berkata: “Terbunuhnya seorang Muslim adalah syahid.” Baginda berkata: “Jadi sesungguhnya para syuhada’ umatku, terbunuhnya seorang Muslim syahid, mati kerana wabak taun syahid, wanita yang mati kerana janinnya syahid (ditarik oleh anaknya dengan tali arinya ke syurga).”

Ke-11 dan ke-12: Mereka yang mati karena terbakar dan sakit bengkak panas yang menimpa selaput dada di tulang rusuk, ada beberapa hadis yang terkait yang paling masyhur: Dari Jabir bin ‘Atik dengan sanad marfu’: “Syuhada’ ada tujuh selain terbunuh di jalan Allah: yang mati kerana wabak taun syahid; yang tenggelam syahid; yang mati kerana sakit bengkak yang panas pada selaput dada syahid; yang sakit perut syahid; yang mati terbakar syahid; yang mati terkena runtuhan syahid; dan wanita yang mati setelah melahirkan syahid.”

Ke-13: Mereka yang mati kerana sakit TB berdasarkan hadis: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Terbunuh di jalan Allah syahid, wanita yang mati kerana melahirkan syahid, orang yang terbakar syahid, orang yang tenggelam syahid, dan yang mati kerana sakit TB syahid, yang mati kerana sakit perut syahid.” (Hadis Hasan)

Ke-14: Mereka yang mati kerana mempertahankan hartanya yang hendak dirampas. Dalam hal itu ada beberapa hadis di antaranya: Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang terbunuh kerana hartanya (dalam riwayat: barang siapa yang hartanya diambil tidak dengan alasan yang benar lalu dia mempertahankannya dan terbunuh,) maka dia syahid.”

Ke-15 dan ke-16: Mereka yang mati kerana mempertahankan agama dan dirinya: Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang terbunuh kerana hartanya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana keluarganya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana agamanya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana darahnya syahid.”

Ke-17: Mereka yang mati dalam keadaan ribath (berjaga-jaga di perbatasan) di jalan Allah. Ada dua hadis dalam hal itu salah satunya: Rasulullah SAW bersabda: “Ribath sehari semalam lebih baik dari berpuasa dan qiyamullail selama sebulan, dan jika mati maka akan dijalankan untuknya amalan yang biasa dikerjakannya, akan dijalankan rezekinya dan diamankan dari fitnah.”

Ke-18: Mati ketika melakukan amal soleh berdasarkan hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang mengucapkan: ‘Laa ilaaha illallah’ mengharapkan wajah Allah lalu wafat setelah mengucapkannya maka dia masuk syurga, barang siapa berpuasa satu hari mengharapkan wajah Allah lalu wafat ketika mengerjakannya maka dia masuk syurga, barang siapa yang bersedekah dengan satu sedekah mengharapkan wajah Allah lalu wafat ketika mengerjakannya maka dia masuk syurga.”

Ke-19: Mereka yang dibunuh oleh penguasa yang zalim kerana memberi nasihat kepadanya: Rasulullah SAW bersabda: “Penghulu para syuhada’ adalah Hamzah bin Abdul Mutalib dan seseorang yang mendatangi penguasa yang zalim, lalu dia memerintahkan yang baik dan melarang dari yang mungkar lalu dia dibunuhnya.” Hadis dikeluarkan oleh Al-Hakim dan disahihkannya, dan Al Khatib.


Insyallah.

Kisah Imam Malik Diheret Dan Didera

Imam Malik dilahirkan di sebuah perkampungan kecil yang bernama Ashbah, yang terletak di dekat Kota Himyar jajahan Yaman. Nama aslinya ialah Malik bin Anas bin Malik bin Abi Amir Al-Ashabally. Beliau adalah seorang ulama besar yang lahir di Madinah serta mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap dunia Islam.

Ketika Imam Malik berusia 54 tahun, pemerintahan berada di tangan baginda Al-Mansur yang berpusat di Bagdad. Ketika itu di Madinah dipimpin oleh seorang gabenor bernama Jaafar bin Sulaiman Al-Hasymi. Sementara itu Imam Malik juga menjabat sebagai mufti di Madinah. Di saat timbulnya masalah penceraian atau talak, maka Imam Malik telah menyampaikan fatwanya, bahawa talak yang dipaksakan tidak sah, ertinya talak suami terhadap isteri tidak jatuh. Fatwa ini sungguh berlawanan dengan kehendak gabenor, kerana ia tidak mahu hadith yang disampaikan oleh Imam Malik tersebut diketahui oleh masyarakat, sehingga akhirnya Imam Malik dipanggil untuk mengadap kepada gabenor.

Kemudian gabenor meminta agar fatwa tersebut dicabut kembali, dan jangan sampai orang ramai mengetahui akan hal itu. Walaupun demikian Imam Malik tidak mahu mencabutnya. Fatwa tersebut tetap disiarkan kepada orang ramai. Talak yang dipaksanya tidak sah. Bahkan Imam Malik sengaja menyiarkan fatwanya itu ketika beliau mengadakan ceramah-ceramah agama, kerana fatwa tersebut berdasarkan hadith Rasulullah SAW yang harus diketahui oleh umat manusia.

Akhirnya Imam Malik ditangkap oleh pihak kerajaan, namun ia masih tetap dengan pendiriannya. Gabenor memberi peringatan keras supaya fatwa tersebut dicabut dengan segera Kemudian Imam Malik dihukum dengan dera dan diikat dengan tali dan dinaikkan ke atas punggung unta, lalu diarak keliling Kota Madinah. Kemudian Imam Malik dipaksa supaya menarik kembali fatwanya itu.

Mereka mengarak Imam Malik supaya Imam merasa malu dan hilang pendiriannya. Tetapi Imam Malik masih tetap dengan pendiriannya itu. Kerana ketegasannya itu, dia dihukum dengan sebat sebanyak 70 kali, yang menyebabkan tulang belakangnya hampir patah. Kemudian ia berkata kepada sahabat-sahabatnya:
“Aku dihukum dera begitu berat lantaran fatwa ku. Demikian Said Al-Musayyid, Muhamad Al-Munkadir dan Rabiah telah dijatuhi hukuman demikian lantaran fatwanya juga.”

Bagi Imam Malik hukuman semacam itu, bukanlah mengurangi pendiriannya, bahkan semakin bertambah teguh jiwanya. Ia tidak pernah takut menerima hukuman asalkan ia berada pada jalan kebenaran. Kerana memang setiap perjuangan itu memerlukan pengorbanan. Imam Al-Laits, seorang alim menjadi mufti Mesir ketika itu, saat mendengar bahawa Imam Malik dihukum lantaran fatwanya ia berkata: “Aku mengharap semoga Allah mengangkat darjat Imam Malik atas setiap pukulan yang dijatuhkan kepadanya, menjadikan satu tingkat baginya masuk ke syurga.”
Insya Allah.

Jaga Adab Berpuasa

HABIB Abdullah bin Alwi al-Haddad, dalam kitabnya Nashaihud Diniyyah wal Washaayal Imaniyyah berkata: "Orang yang berpuasa mempunyai adab-adab yang puasanya tidak menjadi sempurna, kecuali dengan adanya adab-adab itu. Yang terpenting daripadanya ialah menjaga lidahnya daripada dusta dan ghibah serta membicarakan sesuatu yang tidak perlu baginya. Ia menjaga kedua mata dan telinganya daripada mendengarkan dan memandang sesuatu yang tidak halal baginya serta sesuatu yang dianggap berlebihan."

Seterusnya, ia menjaga pula dirinya daripada memakan makanan haram dan subahat, khususnya ketika berbuka puasa. Ia berusaha dengan sangat berhati-hati untuk tidak berbuka puasa, kecuali dengan memakan makanan halal lagi tayyibah.

Ulama Salaf berkata: "Apabila engkau berpuasa, lihatlah makanan apa yang engkau makan ketika berbuka dan di tempat mana engkau berbuka. Hal itu merupakan dorongan agar berhati-hati mengenai makanan berbuka puasa."

Begitu pula orang yang berpuasa harus menjaga semua anggota tubuhnya daripada perbuatan yang tidak perlu. Dengan itu puasanya menjadi sempurna dan bersih.

Banyak orang yang berpuasa memayahkan dirinya dengan lapar dan dahaga. Namun membiarkan anggota tubuhnya berbuat maksiat sehingga merosakkan puasanya dan mensia-siakan kepayahannya.

Nabi SAW bersabda bermaksud: Banyak orang yang berpuasa tetapi puasanya hanya menghasilkan lapar dan dahaga. (riwayat Muslim).

Meninggalkan maksiat adalah wajib bagi orang yang berpuasa mahupun yang tidak berpuasa. Tetapi orang yang berpuasa lebih utama untuk berhati-hati dan lebih wajib.

Nabi SAW bersabda bermaksud: Puasa itu perisai. Maka pada hari kamu berpuasa, janganlah ia berkata-kata dan jangan berbuat kefasikan serta jangan menganggu orang lain. Jika ada orang memakinya atau memusuhinya, maka katakanlah, sesungguhnya aku berpuasa. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Termasuk adab orang berpuasa ialah tidak banyak tidur di siang hari dan tidak banyak makan di waktu malam. Hendaklah ia makan sekadarnya sehingga ia merasakan sentuhan lapar dan dahaga supaya jiwanya menjadi baik dan nafsunya menjadi lemah serta hatinya menjadi terang. Itu rahsia puasa dan tujuannya.

Hendaknya orang yang berpuasa menjauhi kesenangan hawa nafsunya serta kenikmatan melampau. Latihan dan menjauhi keinginan nafsu menimbulkan pengaruh besar dalam menerangi hati dan secara khusus dituntut di bulan Ramadan.

Adapun orang -orang yang menjadikan bersenang-senang dan hidup mewah di bulan Ramadan, hal itu merupakan tipu daya syaitan agar mereka tidak merasakan keberkatan puasa mereka.


Artikel asal ditulis oleh IBRAHIM ABDULLAH

10 Masjid Yang Paling Indah di Dunia

Great Mosque of Xi'an terletak berhampiran Menara Gendang (Gu Lou) di Lorong Huajue di Xi'an, provinsi Shaanxi, China, adalah salah satu masjid tertua dan terkenal di negara itu.
Masjid an-Nabawi atau Masjid Nabi merupakan masjid kedua paling suci mengikut kepercayaan umat Islam. Di sini juga terdapat Makam Rasullullah S.A.W. Masjidil Haram merupakan masjid paling suci dan Masjid Al Aqsa merupakan masjid ketiga paling suci dalam Islam.
Masjid Badshahi atau 'Masjid Kaisar' Dibangun oleh raja ke enam Kesultanan Mughal, Raja Aurangzeb tahun 1671 dan selesai dibangun pada tahun 1673 di Lahore, Pakistan. Masjid Badshahi merupakan masjid dan sebagai landmark serta tumpuan pelancongan utama kota Lahore.
Masjid Raya Baiturrahman  terletak di tengah-tengah kota Banda Aceh, provinsi Aceh, Indonesia. Masjid ini merupakan satu tanda penting agama dan kebudayaan orang Aceh, terutamanya kerana masjid ini terlepas daripada kemusnahan besar yang berlaku di Aceh semasa tsunami tahun 2004.
Masjid Shah Faisal di Islamabad, Pakistan, adalah salah satu masjid yang terbesar di dunia. Ia diisytiharkan sebagai Masjid Negara Pakistan. Terkenal dengan saiznya yang mengagumkan dan seni binanya yang indah, masjid ini memegang rekod sebagai masjid terbesar di dunia.
Masjid Jamek, Jalan Tun Perak asalnya telah dibina oleh pedagang-pedagang Islam yang berasal dari India di persimpangan Sungai Klang dan Sungai Gombak, Kuala Lumpur pada zaman penjajahan British. Kedudukannya berhampiran tapak perkuburan awal di situ dan kini terletak berhampiran dengan Dataran Merdeka, stesen Putra LRT dan Star LRT. Ia menjadi sebahagian daripada mencu tanda Kuala Lumpur sebagai Kota Kebudayaan Islam.
Masjid Muhammad Ali Pasha di Cairo, Mesir menampilkan seni bina Ottoman yang klasik. Ia dibina oleh pemerintah Mesir, Muhammad Ali Pasha untuk mengingati anak sulungnya, Tusun Pasha
Masjid Taj Ul di Bhopal adalah di antara masjid yang paling besar di benua Asia. Ia juga diguna sebagai madarasah.
Masjid al-Haram adalah masjid paling suci mengikut kepercayaan umat Islam. Masjid ini terletak di Kota Makkah Al Mukharamah. Masjid al-Haram dibina mengelilingi Kaabah, iaitu Qiblat umat Islam apabila mengerjakan solat.
Masjid Sultan Ahmed ( Sultanahmet Camii) adalah masjid bersejarah di Istanbul, bandaraya terbesar diTurki dan ibu negara Empayar Uthmaniyyah (dari 1453 hingga ke 1923). Masjid ini adalah salah satu dari beberapa buah masjid yang dikenali sebagai Masjid Biru oleh kerana jubin birunya menghiasi dinding di bahagian dalamnya. Ia dibina di antara 1609 dan 1616, sewaktu pemerintahan Ahmed I. Seperti banyak masjid lain, ia mengandungi suatu kubur penemunya, sebuah madrasah dan sebuah hospis. Masjid Sultan Ahmed telah menjadi salah satu dari tarikan pelancong yang terhebat di Istanbul.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...