DIBINASAKAN OLEH BURUNG HUD-HUD

'Auj bin Unuq adalah manusia yang berumur sehingga 4,500 tahun. Tinggi

tubuh badannya di waktu berdiri adalah seperti ketinggian air yang dapat

menenggelamkan negeri pada zaman Nabi Nuh a.s. Ketinggian air tersebut

tidak dapat melebihi lututnya.


Ada yang mengatakan bahawa dia tinggal di gunung. Apabila dia merasa

lapar, dia akan menghulurkan tangannya ke dasar laut untuk menangkap ikan

kemudian memanggangnya dengan panas matahari. Apabila dia marah atas

sesebuah negeri, maka dia akan mengencingi negeri tersebut hinggalah

penduduk negeri itu tenggelam di dalam air kencingnya.

Apabila Nabi Musa bersama kaumnya tersesat di kebun teh, maka 'Auj

bermaksud untuk membinasakan Nabi Musa bersama kaumnya itu.

Kemudian 'Auj datang untuk memeriksa tempat kediaman askar Nabi Musa

a.s., maka dia mendapati beberapa tempat kediaman askar Nabi Musa itu

tidak jauh dari tempatnya. Kemudian dia mencabut gunung-gunung yang ada

di sekitarnya dan diletakkan di atas kepalanya supaya mudah untuk

dicampakkan kepada askar-askar Nabi Musa a.s.


Sebelum sempat 'Auj mencampakkan gunung-gunung yang diunjung di atas

kepalanya kepada askar Nabi Musa a.s, Allah telah mengutuskan burung

hud-hud dengan membawa batu berlian dan meletakkannya di atas gunung

yang dijunjung oleh 'Auj. Dengan kekuasaan Allah, berlian tersebut

menembusi gunung yang dijunjung oleh 'Auj sehinggalah sampai ke

tengkuknya. 'Auj tidak sanggup menghilangkan berlian itu, akhirnya 'Auj

binasa disebabkan batu berlian itu.


Dikatakan bahawa ketinggian Nabi Musa a.s adalah empat puluh hasta dan

panjang tongkatnya juga empat puluh hasta dan memukulkan tongkatnya

kepada 'Auj tepat mengenai mata dan kakinya. Ketika itu jatuhlah 'Auj dengan

kehendak Allah S.W.T dan akhirnya tidak dapat lari daripada kematian

sekalipun badannya tinggi serta memiliki kekuatan yang hebat.

KEJUJURAN SEORANG SAUDAGAR PERMATA


Pada suatu hari, seorang saudagar perhiasan di zaman Tabiin bernama Yunus bin Ubaid menyuruh saudaranya menjaga kedainya kerana ia akan keluar solat. Ketika itu datanglah seorang badwi yang hendak membeli perhiasan di kedai itu. Maka terjadilah jual beli di antara badwi itu dan penjaga kedai yang diamanahkan tuannya tadi.

Satu barang perhiasan permata yang hendak dibeli harganya empat ratus dirham. Saudara kepada Yunus menunjukkan suatu barang yang sebetulnya harga dua ratus dirham. Barang tersebut dibeli oleh badwi tadi tanpa diminta mengurangkan harganya tadi. Ditengah jalan, dia terserempak dengan Yunus bin Ubaid. Yunus bin Ubaid lalu bertanya kepada si badwi yang membawa barang perhiasan yang dibeli dari kedainya tadi. Sememangnya dia mengenali barang tersebut adalah dari kedainya. Saudagar Yunus bertanya kepada badwi itu, "Berapakah harga barang ini kamu beli?"

Badwi itu menjawab, "Empat ratus dirham." "Tetapi harga sebenarnya cuma dua ratus dirham sahaja. Mari ke kedai saya supaya saya dapat kembalikan wang selebihnya kepada saudara." Kata saudagar Yunus lagi. "Biarlah, ia tidak perlu. Aku telah merasa senang dan beruntung dengan harga yang empat ratus dirham itu, sebab di kampungku harga barang ini paling murah lima ratus dirham."

Tetapi saudagar Yunus itu tidak mahu melepaskan badwi itu pergi. Didesaknya juga agar badwi tersebut balik ke kedainya dan bila tiba dikembalikan wang baki kepada badwi itu. Setelah badwi itu beredar, berkatalah saudagar Yunus kepada saudaranya, "Apakah kamu tidak merasa malu dan takut kepada Allah atas perbuatanmu menjual barang tadi dengan dua kali ganda?" Marah saudagar Yunus lagi.

"Tetapi dia sendiri yang mahu membelinya dengan harga empat ratus dirham." Saudaranya cuba mempertahankan bahawa dia dipihak yang benar. Kata saudagar Yunus lagi, "Ya, tetapi di atas belakang kita terpikul satu amanah untuk memperlakukan saudara kita seperti memperlakukan terhadap diri kita sendiri." Jika kisah ini dapat dijadikan tauladan bagi peniaga-peniaga kita yang beriman, amatlah tepat. Kerana ini menunjukkan peribadi seorang peniaga yang jujur dan amanah di jalan mencari rezeki yang halal. Jika semuanya berjalan dengan aman dan tenteram kerana tidak ada penipuan dalam perniagaan.

Dalam hal ini Rasulullah S.A.W bersabda, "Sesungguhnya Allah itu penetap harga, yang menahan, yang melepas dan memberi rezeki dan sesungguhnya aku harap bertemu Allah di dalam keadaan tidak seorang pun dari kamu menuntut aku lantaran menzalimi di jiwa atau diharga." (Diriwayat lima imam kecuali imam Nasa'i)

SAUDARA MARA, KEKAYAAN DAN AMAL PERBUATAN

Kata Kumail, "Saya bersama-sama Ali telah berjalan ke arah padang pasir pada suatu hari. Dia telah mendekati tanah perkuburan yang terdapat di situ sambil berkata, "Ya ahli-ahli kubur ! Wahai kamu yang telah menghuni di tempat sunyi ini ! Bagaimanakah keadaan kamu di dunia sana ?Setahu kami segala harta peninggalan kamu telah habis dibahagi-bahagikan, anak-anak kamu telah menjadi yatim dan janda-janda yang kamu tinggalkan telahpun berkahwin semula. Sekarang ceritakan sedikit perihal diri kamu."

Kemudian sambil menoleh kepada saya, dia berkata, "Ya Kumail! Seandainya mereka boleh bercakap sudah tentu mereka akan mengatakan sebaik-baik bekalan ialah taqwa." Airmata berhamburan dari kedua-dua belah matanya. Katanya lagi, "Ya Kumail, perkuburan merupakan tempat menyimpan segala perbuatan manusia. Tetapi kita menyedari hakikat ini hanya selepas memasukinya."

Mengikut sebuah hadith tiap-tiap manusia akan menemui perbuatanperbuatannya yang baik. Perbuatan-perbuatan baiknya itu akan berupa seorang manusia yang akan menjadi sahabat dan penawar hatinya.

Sebaliknya kejahatan-kejahatannya akan berupa seekor binatang yang hodoh yang mengeluarkan bau yang busuk dan yang menambahkan kesengsaraannya. Nabi s.a.w telah bersabda dalam sebuah hadith, "Hanya tiga benda sahaja yang mengikuti seseorang ke kuburnya; harta-bendanya, kaum kerabatnya dan amal perbuatannya. Harta benda dan akrib kerabatnya akan kembali selepas upacara pengkebumiannya. Yang tinggal bersama samanya hanyalah amalannya sahaja."

Pada suatu hari Nabi s.a.w telah bertanya kepada para sahabatnya, "Tahukah kamu tentang perhubunganmu dengan saudara-maramu, kekayaan dan amal perbuatanmu ?"

Sahabat-sahabat semua ingin mendengar penjelasan baginda. Nabi pun berkata, "Perhubungan itu bolehlah diumpamakan dengan perhubungan seorang manusia dengan tiga orang adik-beradiknya. Apbila manusia hampir hampir hendak mati dia pun memanggil salah seorang daripada saudara saudaranya tadi lalu berkata, "Saudara, engkau tahu keadaan aku bukan ? Apakah pertolongan yang dapat engkau berikan aku ?" Saudaranya menjawab, "Aku akan memanggil doktor untuk merawati kamu dan aku akan menjaga kamu. Kalau engkau mati, aku akan mandikan kamu, mengkafankan kamu serta mengusung jenazahmu ke perkuburan. Kemudian aku akan mendoakan kamu. Saudaranya ini ialah kaum kerabatnya.


Soalan yang sama dikemukakan kepada saudaranya yang kedua. Jawapannya begini, "Aku akan berada bersama-sama dengan engkau selama engkau masih bernyawa. Sebaik-baik sahaja engkau meninggal, aku
akan pergi kepada orang lain." Saudaranya yang kedua ini ialah harta kekayaannya. Apabila soalan itu dihadapkan kepada saudaranya yang ketiga, dia menjawab, "Aku tidak akan meninggalkan kamu walaupun di dalam kubur. Aku akan bersama-sama kamu ke tempat itu. Ketika amal perbuatanmu
dipertimbangkan, aku akan memberatkan perbuatanmu yang baik." Saudara yang terakhir ini ialah kebaktian yang telah diperbuatkan. Sekarang yang mana satu yang menjadi pilihanmu ?" Jawab para sahabat, "Ya Rasulullah tidak syak lagi yang saudaranya yang terakhir ialah yang paling berguna untuk dirinya."

Hikmah Al-Quran: Hargai pengorbanan ibu bapa

Firman Allah SWT, “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ha’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah Al-Israa’, ayat 23)

Betapa besarnya tanggungjawab berbuat baik kepada ibu bapa sehinggakan Allah ada menyebut di beberapa tempat dalam Al-Quran dengan menggabungkan perintah untuk mengabdikan diri kepada-Nya dan berbakti kepada ibu bapa.

Firman Allah SWT, “Katakanlah: Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatu pun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa.” (Surah Al-Ana’am, ayat 151

Allah SWT berfirman, “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa juga; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa.” (Surah al-Nisa, ayat 36)

Firman Allah SWT, “Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israel (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa.” (Surah al-Baqarah, ayat 83)

Firman Allah SWT, “Katakanlah: Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatu pun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa.” (Surah Al-Ana’am, ayat 151)

Pernah satu ketika Abdullah Ibnu Masu’d bertanya kepada Rasulullah SAW, “Apakah amalan yang paling dicintai Allah SWT? Rasulullah SAW menjawab: Solat di dalam waktunya. Kemudian apa? Rasulullah menjawab: Berbuat baik kepada ibu bapa. Kemudian apa? Rasulullah SAW menjawab: Berjihad di jalan Allah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Muhammad Abdul Aziz Al Khuli ketika membuat huraian hadis di atas menyebut bahawa seolah-olah Rasulullah SAW menyusun urutan itu berdasarkan firman Allah SWT, “Hendaklah kamu bersyukur kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu.” (Surah Luqman, ayat 14)

Tanda syukur kepada Allah SWT dengan menunaikan solat dan tanda berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapa adalah berbuat baik kepada mereka dengan cara mentaati, memastikan keperluan mereka dipenuhi, memberi nafkah, melayan dengan baik, sentiasa merendah diri serta mendoakan kesejahteraan mereka.

Berbakti kepada ibu bapa adalah akhlak yang ada pada semua nabi dan rasul. Ia menggambarkan tidak mungkin orang yang derhaka kepada ibu bapa layak mengajak orang lain membuat kebaikan apatah lagi memimpin manusia.

Firman Allah SWT menceritakan akhlak Nabi Isa: “Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi. Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana saja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup. Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka.” (Surah Maryam, ayat 30-32)

Antara nikmat yang Allah berikan kepada kita adalah dikurniakan ibu bapa. Justeru, berbakti kepada mereka tidak terhenti apabila mereka meninggal dunia, tetapi ia berterusan selepas ketiadaan mereka.

Malik Bin Rabiah menceritakan, ketika kami bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba datang menghadap seorang lelaki dari Bani Salamah, lalu bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah saya masih berpeluang berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa saya, adakah saya wajar berbakti kepada mereka selepas kematian mereka? Rasulullah SAW menjawab: Ya, dengan cara mendoakan kedua-duanya, memohon keampunan kepada mereka, menunaikan janji mereka, memuliakan kawan mereka dan membina silaturahim yang tidak boleh dihubung melainkan dengan keduanya.” (Riwayat Abu Daud)

Antara kelebihan disediakan untuk orang yang berbakti kepada ibu bapa ialah doanya mustajab, doa ibu bapanya juga mustajab dan melihat wajah ibu bapanya akan dikira sebagai ibadah. Berbakti kepada ibu bapa dapat menghapuskan dosa dan kesalahan serta keredaan Allah SWT juga berada pada keredaan ibu bapa.

Orang yang derhaka kepada kedua-dua ibu bapa pula akan mendapat laknat daripada Allah SWT, disegerakan hukuman di dunia ini, dipadamkan cahaya keimanan daripada wajahnya, ditolak amalan kebaikan dan penyebab dihumban ke dalam neraka Allah SWT.

Pada hari ini, kita menyaksikan penderhakaan terhadap kedua-dua ibu bapa menjadi fenomena biasa dalam masyarakat daripada herdikan, cacian, pemulauan dan sampai ke peringkat membunuh. Sudah pasti orang yang memahami isyarat daripada al-Quran mengenai kewajipan berbakti kepada kedua ibu bapa tidak akan melakukan perkara seumpama itu.

Setiap kita harus bermuhasabah sejauh manakah kebaktian dan kebaikan yang sudah dilakukan kepada ibu bapa. Peluang terbuka luas untuk kita tingkatkan kasih sayang dan perhatian kepada ibu bapa, memohon maaf atas segala kelemahan sebagai anak yang alpa terhadap tanggungjawab kita.

SUMBER - Berita Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...