NABI Yusuf dipenjarakan bukan kerana mencuri atau membunuh tetapi kerana desakan isteri pembesar Mesir iaitu Zulaikha. Zulaikha mahu Nabi Yusuf dipenjarakan kerana ingin menutup malunya akibat cuba menggoda Nabi Yusuf.
Setelah itu, tinggallah Nabi Yusuf dalam penjara. Kehidupan baginda lebih tenang dan damai. Di sini hidup baginda tidak lagi diganggu oleh wanita-wanita yang selalu menggoda dan mendorongnya untuk melakukan kejahatan.
Tempoh hukuman penjara yang dikenakan ke atas Nabi Yusuf tidak ada seorang pun yang tahu. Semua itu ditentukan oleh pihak berkuasa negeri semata-mata.
Bagi Nabi Yusuf, hidup dalam penjara yang gelap dan sempit lebih baik kerana jiwanya tidak tertekan dan terhindar daripada segala godaan serta tipu daya yang akan menjerumuskannya ke lembah kemaksiatan.
Semasa dalam penjara, Nabi Yusuf dapat menyampaikan dakwah, memberi bimbingan dan nasihat kepada penghuni-penghuni yang lain agar mereka insaf serta tidak melakukan dosa lagi.
Harapan baginda hanya satu, agar orang yang telah melakukan dosa itu akan kembali ke pangkal jalan dan bertaubat dengan sesungguh hati. Bagi mereka yang dimasukkan ke penjara kerana kesilapan pemerintah, Nabi Yusuf telah menyarankan mereka supaya bersabar dan bertakwa kepada Allah supaya kesengsaraan mereka dapat diakhiri dengan cepat.
Pada hari yang sama Nabi Yusuf dimasukkan ke dalam penjara, terdapat dua pegawai istana yang masuk bersama-sama dengannya. Mereka telah berkenalan dengan Nabi Yusuf. Akhirnya mereka telah menjadi sahabat baik dan akrab dalam penjara.
Kedua-dua mereka terlalu sayang dan kasih kepada Nabi Yusuf. Lagipun baginda merupakan seorang yang sangat baik hati.
Pada suatu hari, dua orang sahabat ini telah berkata kepada baginda, "Wahai Yusuf, sesungguhnya kami amat kasih dan sayang kepada engkau".
Nabi Yusuf pun menjawab, "Moga Allah memberi berkat kepada kamu berdua. Lagipun dahulu orang yang menyayangiku akan selalu mendatangkan kecelakaan kepadaku.
"Dahulu saudara perempuanku amat sayang kepadaku, kemudian ia membawa padah terhadapku, kemudian ayahku pula menyayangiku dan ia mengundang sifat cemburu saudara-saudaraku yang lain," jelas Nabi Yusuf.
Kata baginda lagi: "Mereka telah mencampakkan aku ke dalam telaga. Kemudian aku dicintai pula oleh isteri pemerintah maka beginilah jadinya nasibku. Sesungguhnya aku amat bimbang sekiranya ada orang yang menyayangi dan menyintai diriku".
Walaupun Nabi Yusuf berkata begitu, tetapi dua orang sahabat ini masih menyayangi Nabi Yusuf dan berkata, "Meskipun demikian katamu, demi Allah, tidaklah kami sanggup membebaskan diri daripada menyayangi engkau".
Selepas itu mereka pun meneruskan persahabatan seperti biasa selama mana mereka masih tinggal dalam penjara itu. SUMBER
No comments:
Post a Comment