بسم اهللا ، واحلمد هللا ، والصالة والسالم على رسول اهللا ، وعلى آله وصحبه ومن وااله
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam amat beruntung kerana dikurniakan banyak keistimewaan, antaranya dikurniakan dengan pengkhususan puasa sunat pada hari ‘Arafah yang mempunyai keistimewaan yang begitu besar bagi sesiapa yang mengerjakan puasa tersebut.
Puasa hari ‘Arafah ialah puasa sunat yang dilakukan pada hari ke 9 Dzulhijjah. Hukumnya sunat muakkadah bagi orang yang tidak mengerjakan haji, tidak musafir dan tidak sakit.
Manakala orang yang mengerjakan haji tidak disunatkan untuk berpuasa pada hari tersebut walaupun dia berkeupayaan untuk melaksanakan puasa, kerana Rasulullah Shallalahu ‘alaihi wasallam sendiri tidak berpuasa ketika Baginda wuquf.
Ummu al-Fadhl bin al-Harits Radhiallahu ‘anha meriwayatkan:
أَّMaksudnya: “Bahawa beberapa orang di sisinya (di sisi Ummu Fadhl Radhiallahu ‘anha) pada hari ‘Arafah membicarakan puasa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam (pada hari Arafah).
Sebahagian mereka mengatakan: “Baginda berpuasa” dan sebahagian mereka pula mengatakan: “Baginda tidak berpuasa”. Maka Ummu al-Fadhl menghantar kepada Baginda segelas susu dan Baginda (pada ketika itu) berada di atas untanya, lalu Baginda meminum susu tersebut.”.
(Hadits riwayat al-Bukhari)
Selain tidak berpuasa ketika wuquf kerana mengikut sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, orang yang wuquf juga tidak disunatkan berpuasa supaya membantunya agar lebih kuat dan untuk memperbanyakkan berdoa ketika wuquf di ‘Arafah kerana afdhal berdoa pada hari tersebut.
Begitu juga tidak disunatkan bagi orang yang musafir dan orang sakit untuk berpuasa pada hari ‘Arafah jika dengan berpuasa itu akan mendatangkan kepayahan kepada mereka.
Sunat Berpuasa Pada Hari Ke 8 Dzulhijjah
Di samping disunatkan berpuasa pada hari ‘Arafah (hari ke 9 Dzulhijjah), disunatkan juga berpuasa pada hari ke 8 Dzulhijjah, sebagai langkah berhati-hati kerana kemungkinan hari ke 8 Dzulhijjah itu adalah hari ke 9 Dzulhijjah.
Berbeza dengan 9 Zulhijjah, puasa pada hari ke 8 Dzulhijjah ini tidak hanya sunat dilakukan oleh orang-orang yang tidak mengerjakan haji sahaja, bahkan juga oleh orang-orang yang mengerjakan haji.
Kelebihan Berpuasa Sunat Hari ‘Arafah
Kelebihan berpuasa sunat hari ‘Arafah disebutkan di dalam hadits iaitu dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan dosa setahun selepas itu bagi sesiapa yang mengerjakannya.
Diriwayatkan daripada Abu Qatadah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Berpuasa pada hari ‘Arafah aku memohon kepada Allah (akan ganjaran kerana melakukan puasa hari ‘Arafah) supaya Allah menebus (dosa) setahun sebelumnya dan setahun selepasnya.”
(Hadits riwayat Muslim)
Apa yang dimaksudkan dengan menebus (dosa) setahun sebelum dan setahun selepasnya dalam hadits tersebut ialah diampunkan dosa-dosa setahun sebelum hari ‘Arafah yang lalu dan setahun selepas hari ‘Arafah yang akan datang.
Berkata Imam al-Mawardi Rahimahullah, bahawa ‘pengampunan’ di dalam hadits tersebut mempunyai dua tafsiran:
i. Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengampunkan dosanya pada dua tahun tersebut.
ii. Allah Subhanahu wa Ta‘ala memeliharanya pada dua tahun tersebut, dan dia tidak akan berbuat maksiat pada dua tahun tersebut.
Adapun pengampunan dosa-dosa yang dimaksudkan itu adalah pengampunan bagi dosa-dosa kecil, kerana dosa-dosa besar hanya dapat diampunkan dengan taubat atau (pengampunan) melalui rahmat Allah. Manakala maksud pengampunan dosa-dosa kecil dalam hal ini pula ialah dosa-dosa kecil yang tidak bersangkut paut dengan dosa-dosa sesama manusia.
Puasa Sunat Hari ‘Arafah Yang Jatuh Pada Hari Jumaat
Pada dasarnya makruh mengerjakan puasa sunat semata-mata pada hari Jumaat sahaja, begitu juga berpuasa sunat semata-mata pada hari Sabtu sahaja atau pada hari Ahad sahaja berdasarkan hadits- hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Antaranya, sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jangan sekali-kali seorang daripada kamu berpuasa sunat (semata-mata) pada hari Jumaat melainkan (dia berpuasa) sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.
(Hadits riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan hadits tersebut, jelas bahawa makruh hukumnya mengerjakan puasa sunat semata-mata pada hari Jumaat sahaja tanpa menggandingkannya dengan hari sebelumnya iaitu hari Khamis atau hari selepasnya iaitu hari Sabtu. Begitu juga makruh hukumnya berpuasa sunat semata-mata pada hari Sabtu sahaja tanpa digandingkannya dengan hari Ahad berdasarkan hadits- hadits yang melarang berbuat demikian.
Walau bagaimanapun jika puasa sunat hari ’Arafah jatuh pada hari Jumaat atau pada hari Sabtu atau pada hari Ahad, maka tidak makruh melakukan puasa sunat pada hari tersebut secara bersendirian (tidak digandingkan dengan hari sebelum atau hari selepasnya). Ini kerana hari tersebut memang sudah jelas dianjurkan oleh syara’ untuk berpuasa sunat, umpamanya jatuh puasa sunat hari ’Arafah atau puasa sunat hari ’Asyura bertepatan pada hari Jumaat atau bertepatan pada hari Sabtu.
Perselisihan Tarikh 9 Dzulhijjah Dengan Waktu Wuquf Di ‘Arafah
Persoalannya, -inilah yang terjadi- jika tarikh 9 Dzulhijjah di Negara Brunei Darussalam itu tidak bertepatan dengan hari wuquf di ‘Arafah, adakah bagi penduduk Negara Brunei Darussalam berpuasa pada hari ‘Arafah mengikut tarikh 9 Dzulhijjah di Negara Brunei Darussalam atau mengikut waktu wuquf jemaah haji di ‘Arafah?
Dalam hal ini, perlu diketahui bahawa ketetapan awal bulan Hijrah dalam perkara berhubung agama ialah mengikut anak bulan di ufuk setelah berlalu bulan yang terdahulu sebanyak dua puluh sembilan hari atau jika tidak nampak anak bulan pada malam dua puluh sembilan, maka bulan yang terdahulu digenapkan kepada tiga puluh hari. Dan hari berikutnya dianggap sebagai satu haribulan bagi bulan yang berikutnya menurut dalil-dalil dari hadis dan amalan umat Islam.
Oleh kerana itu, maka wajiblah diikut ketetapan yang dibuat oleh pihak berautoriti Negara Brunei Darussalam pada menetapkan awal bulan Dzulhijjah. Apabila telah disabitkan awal Dzulhijjah di Negara Brunei Darussalam, maka hari kesembilan Dzulhijah itulah hari ‘Arafah dan pada hari kesembilan Dzulhijjah itulah juga hari disunatkan berpuasa hari ‘Arafah. Dan tidak sah berpuasa hari ‘Arafah mengikut hari jemaah haji wuquf di ‘Arafah, kerana berlainan kedudukan ‘Arafah dan kedudukan Negara Brunei Darussalam pada awal anak bulan sebab berjauhan di antara dua buah negeri.
Jelaslah bahawa puasa sunat hari ’Arafah merupakan puasa yang bukan sahaja menjanjikan ganjaran pahala sunat bagi sesiapa yang melakukannya, bahkan kelebihannya menjadi penebus dosa-dosa kecil bagi setahun sebelum dan setahun selepas ia dikerjakan. Ia adalah peluang istimewa yang hanya datang setahun sekali. Janganlah kita lepaskan peluang ini. Jika para jemaah haji merebut peluang meraih pahala di bumi Makkah dengan melaksanakan ibadah dan dengan banyak kelebihan-kelebihannya, kita pula jangan lepaskan peluang meraih pahala dan kelebihan-kelebihan yang ada di bulan haji ini, antaranya dengan mengerjakan puasa sunat hari ’Arafah. SUMBER
No comments:
Post a Comment