Abdullah bin Mas'ud adalah seorang sahabat yang juga murid setia Rasulullah SAW. Di mana baginda berada, beliau sentiasa mencatat apa juga yang diucapkan oleh Rasulullah SAW serta mengambil pengajaran daripada setiap perbuatan baginda. Begitulah cara beliau menimba ilmu.
Suatu hari Abdullah bin Mas'ud melihat Rasulullah SAW sedang berbaring. Apabila baginda bangun dari tempat pembaringannya, beliau terlihat ada kesan jalur-jalur tikar di belakang baginda. Ini disebabkan tikar alas tidur baginda diperbuat daripada daun kurma yang kasar, maka kesan itu amat ketara. Timbul rasa belas kasihan di hati Abdullah bin Mas'ud.
Berkata Ibnu Mas'ud, "Ya Rasulullah, sekiranya engkau perintahkan aku untuk mencari sebidang hamparan yang lembut untukmu, nescaya aku akan berusaha untuk mendapatkannya."
Akan tetapi Rasulullah SAW bersabda:
"Bagiku, berada di dunia ini ibarat seseorang yang berjalan di tengah panas lalu singgah sebentar berteduh di bawah sepohon kayu yang rendang, selepas beristirahat barang seketika untuk menghilangkan penat, maka beredarlah dia meninggalkan pohon rendang itu dan meneruskan perjalanan."
Ini adalah suatu pengajaran terhadap manusia, bahawa kesempatan yang diberikan kepada manusia hidup di dunia ini bukanlah untuk kekal selama-lamanya. Sebaliknya, dunia hanyalah tempat persinaggahan untuk membuat persiapan, mencari bekal bagi menghadapi suatu kehidupan yang abadi.
No comments:
Post a Comment