Yahya bin Aktham al-Tamimi, Abu Muhammad al-Marwazi (w. 242H) seorang remaja yang sangat cerdas melebihi ramai yang lebih tua daripadanya. Imam al-Dzahabi dalam Siar A’lam al-Nubala bahkan mengiktiraf beliau sebagai pakar feqah yang telah mencapai darjat ijtihad.
Kerana keilmuannya, Khalifah al-Makmun melantik Yahya bin Aktham menjadi Hakim Agama (kadi) bagi kota Baghdad, ibu kota Kerajaan Abbasiah. Padahal, usia beliau pada saat itu tidak lebih daripada 21 tahun. Semua wazir (menteri) kerajaan sering kali meminta nasihatnya sebelum melakukan sesuatu apapun.
Suatu hari, seseorang berniat merendahkan Yahya kerana usianya. Orang seperti ini memang selalu ada di setiap masa, yakni orang yang suka menilai manusia kerana usianya, bukan kerana ilmunya.
Di hadapan orang ramai, dia bertanya, “Berapakah usia Tuan Hakim?”
Menyedari maksud di sebalik soalan ini, Yahya bin Aktham menjawab, “Usiaku lebih tua daripada ‘Attab bin Usaid apabila Rasulullah s.a.w melantiknya menjadi penguasa Makkah. Usiaku lebih tua daripada Muadz bin Jabal apabila Rasullullah s.a.w mengutusnya menjadi kadi di Yaman. Dan usiaku lebih tua daripada Kaab bin Siwar apabila Umar al-Khattab melantiknya menjadi kadi di Basrah.”
Jawapan ini membungkam lelaki tersebut.
Masa muda, masa menyumbang
Pemuda seperti Yahya bin Aktham sangat banyak di generasi Salafus Soleh kita. Mereka mampu memanfaatkan masa muda mereka dengan baik untuk mencapai kejayaan hidup.
Sumber: Majalah Gen Q Isu Perdana.Ruangan Salafus Saleh tulisan Ustaz Umar M Noor
No comments:
Post a Comment