Kisah Ahli Syurga Dan Neraka

Masih ingatkah anda kepada kisah seorang pelacur di zaman Rasulullah SAW? Sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Baginda bersabda :

Ketika seekor anjing berpusing mengelilingi sebuah perigi dan hampir mati kerana dahaga, seorang pelacur daripada suku Bani Israil melihatnya. Lalu dia menanggalkan kasutnya dan memberi anjing tersebut minum dengannya. Maka Allah mengampunkan dia kerana perbuatannya itu. (Sahih al-Bukhari)

Selain daripada kisah pelacur tersebut, ada lagi kisah manusia yang berbuat dosa tetapi diberi keampunan oleh Allah. Antaranya kisah pembunuh 100 orang yang diampunkan Allah. Kisah 2 orang sahabat jatuh tangga lalu mati, seorang yang kuat ibadah masuk neraka dan seorang kaki maksiat masuk syurga.

Sebenarnya, kisah ahli maksiat diampunkan ALLAH hanya sebagai teladan untuk kita bagi menunjukkan rahmat ALLAH yang luas kepada makhluknya, supaya jangan berputus asa untuk memohon keampunan Allah walaupun sebesar mana dosa kita. Sebagai bukti Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani jika hamba-Nya yang terlanjur melakukan maksiat itu bertaubat dan menyesali keterlanjuran mereka. Bukannya untuk menjadikan kisah itu sebagai tiket untuk menghalalkan maksiat.

Berbalik kepada persoalan mendedah aurat belum confirm masuk neraka. Jika berpandukan kepada Hadis Nabi SAW, memang confirm dedah aurat masuk neraka. Bukan hanya sekadar masuk neraka malah menghidu bau syurga pun tidak mampu.

"Dari Abu Hurairah ra, dari Rasulullah saw beliau berkata: "Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum aku lihat saat ini ; pertama, satu kaum yang membawa cemeti seperti ekor sapi. Mereka memukul manusia dengan cemeti tersebut. Kedua, wanita-wanita yang berpakaian tapi telanjang (tidak menutup aurat dengan sempurna). Mereka berlengang-lenggok dan menggoyang-goyangkan kepala mereka seperti ponok unta yang condong. Wanita-wanita tersebut tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium baunya pun. Padahal bau syurga itu dapat tercium dari jarak sekian dan sekian"
(HR. Muslim).

Antara dalil lain yang boleh digunakan bagi menjawab persoalan wanita yang membuka aurat dengan sengaja walaupun tidak menentang kewajipan menutup aurat, kompom masuk neraka atas dalil:

"Rasulullah s.a.w bersabda: Semua umatku akan masuk syurga kecuali yang enggan. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah orang yang enggan? Baginda menjawab: Barangsiapa yang taat kepadaku, dia masuk syurga dan barangsiapa yang melanggar perintahku, dia telah enggan.
(Hadith Sahih Riwayat Imam Bukhari & Muslim)

Di dalam peristiwa israk mikraj pun Rasulullah SAW ada menyatakan bahawa baginda melihat perempuan yang digantung rambutnya dalam neraka hingga menggelegak otak kepalanya atas kesalahan tidak menutup rambutnya daripada bukan mahramnya.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. dan Abu Said r.a., bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda :

“Syurga dan neraka berdebat. Lalu syurga berkata, “aku dimasuki orang-orang lemah dan miskin.”
Neraka berkata: “Aku dimasuki orang-orang yang suka menindas dan sombong.”

Lalu Allah s.w.t. berfirman kepada neraka: “Sesungguhnya engkau adalah seksa-Ku, dan Aku menyeksa orang-orang yang Kuhendaki denganmu.”
Kemudian Allah s.w.t. berfirman pula kepada syurga: “Engkau adalah rahmat-Ku, dan Aku merahmati siapa sahaja yang Aku kehendaki. Setiap kamu akan diisi hingga penuh." (Riwayat Al-Bukhari, no. 2846)

Akan tetapi, jika kita sendiri mempersoalkan suruhan Allah dengan membidas bahawa buat baik belum confirm masuk syurga atau buat jahat belum confirm masuk neraka, tak rasa malukah nak mengharap rahmat Allah terhadap kita? Tak rasa malukah nak menumpang syurga Allah?

Melaksanakan perintah Allah ganjarannya pahala, syurga, rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Mengerjakan larangan Allah balasannya adalah dosa, neraka, kemurkaan dan azab Allah SWT. Kesimpulannya, ahli syurga tidak berdosa, manakala ahli neraka berdosa. Akan tetapi, setiap orang yang berdosa pasti akan ke syurga jua akhirnya nanti jika dia masih Islam dan tidak murtad. Itupun setelah menempuh azab siksa yang maha dahsyat di neraka kelak bagi menyuci dosanya, yang mana sehari di neraka bersamaan 1000 hari di dunia ini. Mampukah nak tanggung? Letak hujung jari dekat api lilin sekejap pun dah meraung.

Jika buat maksiat belum confirm masuk neraka, adakah buat maksiat tu anda yakin confirm masuk syurga? Jadi, gunakanlah kesempatan ini untuk bertaubat nasuha. Bukannya mempertikaikan ganjaran syurga atau neraka. Setiap manusia biasa tidak pernah terlepas daripada melakukan dosa. Bertaubatlah setiap masa. Jangan nak tunggu tua baru nak bertaubat. Boleh jaminkah anda boleh bernafas lagi selepas membaca artikel ini? Sebaik-baik amalan adalah yang ikhlas semata-mata mengharapkan keredhaan Allah, bukannya semata-mata nak masuk syurga ataupun takutkan azab neraka.

Wallahu'alam..

1 comment:

Unknown said...

Alhamdulillah,,Jazakallah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...