6 PERKARA ALLAH SWT SEMBUNYIKAN

Terdapat enam rahsia Allah SWT tidak diberitahu-Nya kepada manusia semata-mata sebagai ujian untuk manusia meneruskan amal-amal soleh yang berterusan tanpa rasa ragu-ragu, kecewa dan bangga diri.

Sayyidina Umar bin Al-Khattab r.a berkata :

Pertama : Allah menyembunyikan keredaan dalam ketaatan.

Allah tidak menzahirkan penerimaan atas amalan-amalan ketaatan yang kita persembahkan kepadaNya supaya kita tidak kecewa diatas amalan tersebut dengan hikmah agar kita terus melakukan amalan tersebut,walaupun terdapat sedikit kecacatan yang kita tidak ketahui.

Dalam satu hadis Qudsi Allah berfirman yang bermaksud: “Ikhlas adalah satu rahsia dalam rahsia-rahsia-Ku. Aku titiskan ia dalam hati hamba-hambaku yang Aku mangasihinya” (Riwayat Abu Hasan Al Basri)

Kerana ikhlas satu rahsia Allah tentu tidak mungkin kita dapat mengetahui siapa yang ikhlas dan siapa yang tidak. Malah diri kita sendiri pun mungkin kadang-kadang susah untuk dipastikan apakah amalan kita itu ikhlas atau sebaliknya.

Bagi orang-orang yang ikhlas, pujian dan kejian tidak pernah difikirkan apalagi hendak di harapkan. Mereka sangat takut kalau-kalau Allah menolak amalan dan memurkai mereka. Sebaliknya mereka sangat ingin Allah menerima baik amalan-amalan mereka serta meredaai mereka. Mereka sanggup mengetepikan kepentingan sendiri dalam usaha mencari keredaan Allah. Mereka tidak bimbang nasib diri, rugi atau untung, orang keji atau puji, menang atau kalah, yang penting supaya Allah menerima baik amalan mereka.

Rasulullah SAW kerana menganjurkan sifat ikhlas telah bersabda yang bermaksud:“Berbuat baiklah pada orang yang berbuat jahat kepada kamu”

Seseorang yang mencari keredaan Allah, akan sentiasa mencari peluang untuk berbakti kepada-Nya. Ketika orang lain bertindak jahat pada mereka, mereka akan merasa berpeluang untuk mendapat pahala dan kasih sayang Allah. Sebab itu kejahatan orang diterima baik dan dibalas dengan kebaikan pula.

Kedua : Allah menyembunyikan kemurkaan diatas kemaksiatan kita.

Allah tidak menarik nikmat dan kemewahan daripada seseorang, walaupun nikmat yang Allah anugerahkan kepadanya digunakan untuk kemaksiatan kerana Allah masih bersifat rahmat didunia, sedangkan sebenarnya Allah murka kepada kita.

Allah SWT. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
(Surah Al-Baqarah ayat 222)

Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Barang siapa memperbanyak Istighfar maka Allah akan membebaskannya dari kedukaan, dan memberinya jalan keluar bagi kesempitannya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak diduga-duga"
(Hadis Riwayat Abu Dawud).

Oleh yang demikian kita perlu selalu dan segera bertaubat. Taubat bererti kita kembali merujuk kepada Allah. Meninggalkan dosa, menyesali yang sudah terlanjur dan berazam untuk tidak mengulangi lagi serta memperbaiki amalan dengan memperbanyakkan kebaikan. Ia adalah proses pembersihan dari kekotoran. Orang yang bertaubat bersih dari segala dosa.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud : "Orang yang bertaubat dari dosanya adalah seperti orang yang tidak punya dosa."

Ketiga: Allah SWT merahsiakan nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.
Allah SWT tidak menyatakan nama-Nya yang terAgung di dalam Al-Quran supaya hambanya tidak tertumpu pada nama dan surah tertentu sahaja dan mengabaikan kemujizatan kitab suci tersebut. Maka Allah SWT menghendaki hambanya sentiasa mengkaji dan memahami isi kandungan Al-Quran sebagai pedoman hidup.

Keempat : Allah menyembunyikan kedatangan malam Lailatul Qadar pada tarikh tertentu agar hambaNya tidak melakukan ibadat pada malam tersebut sahaja dan berpesta maksiat pada malam-malam yang lain.

Malam Lailatul-Qadar sunat dicari, kerana malam ini merupakan suatu malam yang diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan doa oleh Allah S.W.T. Malam Lailatul-Qadar adalah sebaik-baik malam mengatasi semua malam termasuk malam Jumaat.

Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Al-Qadr 97: Ayat 3. yang maksudnya :" Malam Lailatul - Qadar lebih baik daripada seribu malam "

Maksudnya adalah kita menghidupkan malam Lailatul-Qadardengan mengerjakan ibadah adalah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan yang tidak ada Lailatul-Qadar seperti sabda Nabi SAW maksudnya :" Sesiapa menghidupkan malam Lailatul-Qadar kerana beriman serta mencari pahala yang dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada
dosa-dosa yang telah lalu "

Diriwayatkan daripada Saiyidatina Aisyah r.a bahawa Rasulullah SAW. apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadan, baginda menghidupkan malam-malamnya dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya. Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan maksudnya : " Rasulullah SAW. berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh
akhir Ramadan melebihi usahanya daripada malam-malam lain. "

Oleh itu Allah menghendaki hambaNya melakukan ketaatan dan beribadah sepanjang bulan Ramadan (utamakan 10 malam terakhir) dan sepanjang hayatnya.

Kelima : Allah menyembunyi solat kita yang terbaik disisiNya dengan hikmah supaya kita terus beribadat dan solat kepadaNya sepanjang hayat.

Ibnu Abbas ra. berkata: Nabi SAW. bersabda : Allah SWT. berfirman maksudnya : "Sesungguhnya Aku hanya menerima solat dari orang yang merendahkan diri kerana keagungan-Ku dan tiada menyombongkan dirinya di atas makhluk-Ku, tiada terus menerus bermaksiat pada-Ku, menghabiskan masa harinya berzikir kepada-Ku, berbalas kasih kepada orang miskin, orang musafir-ibnussabil- perempuan janda dan orang yang terkena mushibah. Ia bercahaya laksana matahari. Aku lindungi ia dengan kesabaran-Ku dan memerintahkan malaikat-Ku menjaganya. Aku berinya cahaya dalam kegelapan dan kesabaran dalam kesukaran. Ia di antara makhluk-makhluk-Ku laksana "firdaus" diantara barisan Syurga".
(Hadis Riwayat Al-Bazzar)

Sebelum Allah SWT menerima solat seseorang hamba di hari akhirat nanti.maka Allah SWT. akan terima solat itu di dunia ini lagi.Jika Allah SWT menolak solat seseorang ketika di dunia maka solatnya tidak akan diterima apabila dipersembahkan olehnya dihadapan Allah SWT nanti. Selain daripada khusyuk dan betul dari rukun dan syarat sah solat, terdapat lima faktur lain yang akan diambil kira untuk diterima solat kita oleh Allah SWT :

1. Merendahkan diri kerana keagungan Allah SWT.

2. . Tidak bersikap sombong kepada makhluk Allah SWT.

3.. Tidak berterusan melakukan maksiat. Jika melakukan sesuatu maksiat segera beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT.

4. Menghabiskan masanya untuk sentiasa berzikir kepada Allah SWT.

5. Mengasihi orang-orang miskin, orang musafir ( ibnussabil) dan wanita janda dan orang yang ditimpa musibah (sentiasa memberikan bantuan kepada mereka).

Begitulah beberapa ciri-ciri solat kita diterima oleh Allah SWT, jika Dia menzahirkan solat yang terbaik kita lakukan berkemunginan kita rasa bangga diri dan menceritakan kepada orang lain. Itulah hikmah Allah SWT merahsiakan solat terbaik kita yang dilakukan disisi-Nya.

Marilah sama-sama kita pertingkatkan amal soleh, amal ibadah dan amal kebajikan yang kita kerjakan semata-mata mencari keredaan Allah SWT. Jadikanlah enam rahsia Allah SWT yang disembunyikan-Nya kepada kita semata-mata supaya kita teruskan beribadah dengan ikhlas tanpa mengharapkan pujian daripada manusia tetapi mengharapkan keredaan dan keberkatan daripada Allah SWT.

Keenam: Allah SWT merahsiakan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari.

Jika Allah SWT zahirkan tarikh dan tempat bermulanya hari kiamat. pasti hamba-hambanya tidak dapat menempuh hari dengan lebih sempurna, mereka akan hilang akal dan tanpa mahu melakukan sebarang pekerjaan.

Begitulah bertapa luasnya ilmu Allah Yang Maha Pencipta yang hanya merahsiakan beberapa perkara disisi-Nya supaya kita sebagai hamba sentiasa berwaspada dan beramal soleh dalam kehidupan yang dipinjamkan. Hanya ilmu dan perbuatan yang bermanfaat sahajalah yang berkekalan dan dapat membantu kita di alam barzah dan akhirat nanti.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...