RAMADHAN AKAN PERGI DAN EIDUL FITRI MENJELANG TIBA

Ramadhan sudah sampai penghujungnya, bulan yang penuh keberkatan ini akan pergi meninggalkan kita.

Bagi hati Mukmin, perginya Ramadhan membuat hati merasa sayu dan sedih, kerana kehadiran Ramadhan membawa seribu kebaikan dan kegembiraan iaitu mendapat rahmat Allah, pengampunan dari segala dosa dan pembebasan dari seksaan api Neraka.

Kelebihannya tidak ada pada bulan-bulan yang lain.

Sebulan kita menahan lapar. Ringan badan beribadah. Berlapar menutup pintu hasutan syaitan. Muslimin mengikis penyakit-penyakit hati seperti hasad, ego, ‘ujub, sum’ah, bakhil, buruk makan, cinta dunia dan panjang angan-angan. Membuang sifat malas dan berpoya, berpecah dan berseteru.

Madrasah Ramadhan merupakan proses tarbiyah dan tazkiyah pada hati, jiwa dan roh kepada pembersihan sebenar yang mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Natijah dari segala proses di madrasah ini melahirkan hati yang bertakwa kepada Allah SWT. Takwa inilah merupakan pakaian orang mukmin, pakaian inilah yang dipakainya untuk menghadapi sebelas bulan yang akan datang.

Sahabat yang dimuliakan,

Adakah Ramadhan kali ini, merupakan Ramadhan yang terbaik pernah sahabat rasai?

Adakah segala amal ibadah, puasa, doa, munajat, tafakur, sedekah, bacaan al-Quran yang kita laksanakan memberi kesan yang mendalam pada hati , jiwa dan perasaan dan benar-benar dapat merasai kemanisannya?

Meningkat atau tidak meningkatnya tarbiyah ruhiyah ini, berkesan atau tidak berkesannya proses tamrin ini bergantung pada peribadi masing-masing sejauhmana dia hayati Ramadhan. Sejauh itulah dia akan rasa kemanisannya.

Berbahagialah sesiapa yang diubah perangainya oleh Ramadhan. Ia terlepas dari celaan seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;

“Terjauhlah (dari rahmat) sesiapa yang sempat bertemu dengan Ramadhan (tetapi tidak memperdulikannya) maka Allah tidak mengampunkannya.”

(Hadis Riwayat al-Hakim dari Kaab bin ‘Ujrah)

Sahabat boleh muhasabah diri sendiri, kesan yang paling nyata adalah amal ibadah dan amal soleh yang kita laksanakan semasa Ramadhan akan dapat kita teruskan dan istiqamah pada bulan-bulan berikutnya , malah mungkin lebih baik lagi.

Jika ini berlaku , ini bermakna ciri-ciri takwa itu dapat kita perolehi. Takwa itu ia tidak tersimpan didalam hati sahaja tetapi ia akan dilahirkan dalam berfikir, dalam tindakkan dan membuat keputusan, nampak jelas dalam peribadi, akhlak, tutur kata, pergaulan dan amalan hariannya.

Apakah kalian bertemu malam Lailatul Qadr?

Malam-malam ganjil 21, 23, 25 dan 27 telah berlalu yang belum hanya malam 29.

Yang pasti kalian telah bertemu Lailatu Qadr hanya kalian tidak mengetahui malam Ramadhan ke berapa dan bila saatnya berlaku!

Ulama menyatakan bahawa sesiapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah disepanjang Ramadhan dia sebenarnya telah mendapat malam Lailatul Qadr.

Dalam hadis yang lain menyatakan bahawa fadilat solat Isyak berjemaah seolah-olah mendapat pahala mengerjakan solat separuh malam dan fadilat solat Subuh berjemaah seolah-olah mendapat pahala mengerjakan solat sepanjang malam.

Kita mohon kehadrat Allah SWT semoga keberkatan malam Lailatu Qadr tahun ini dapat memberi kesan pada hati, jiwa dan kehidupan kita yang lebih baik dan mendapat keredhaan Allah SWT.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...