PAHLAWAN NERAKA

Suatu hari satu pertempuran telah berlaku di antara pihak Islam dengan pihak
Musyrik. Kedua-dua belah pihak berjuang dengan hebat untuk mengalahkan
antara satu sama lain. Tiba saat pertempuran itu diberhentikan seketika dan
kedua-dua pihak pulang ke markas masing-masing.

Di sana Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat telah berkumpul
membincangkan tentang pertempuran yang telah berlaku itu. Peristiwa yang
baru mereka alami itu masih terbayang-bayang di ruang mata. Dalam
perbincangan itu, mereka begitu kagum dengan salah seorang dari sahabat
mereka iaitu, Qotzman. Semasa bertempur dengan musuh, dia kelihatan
seperti seekor singa yang lapar membaham mangsanya. Dengan
keberaniannya itu, dia telah menjadi buah mulut ketika itu.

"Tidak seorang pun di antara kita yang dapat menandingi kehebatan
Qotzman," kata salah seorang sahabat. Mendengar perkataan itu, Rasulullah
pun menjawab, "Sebenarnya dia itu adalah golongan penduduk neraka." Para
sahabat menjadi hairan mendengar jawapan Rasulullah itu. Bagaimana
seorang yang telah berjuang dengan begitu gagah menegakkan Islam boleh
masuk dalam neraka. Para sahabat berpandangan antara satu sama lain
apabila mendengar jawapan Rasulullah itu.

Rasulullah sedar para sahabatnya tidak begitu percaya dengan ceritanya,
lantas baginda berkata, "Semasa Qotzman dan Aktsam keluar ke medan
perang bersama-sama, Qotzman telah mengalami luka parah akibat ditikam
oleh pihak musuh. Badannya dipenuhi dengan darah. Dengan segera
Qotzman meletakkan pedangnya ke atas tanah, manakala mata pedang itu
pula dihadapkan ke dadanya. Lalu dia terus membenamkan mata pedang itu
ke dalam dadanya."

"Dia melakukan perbuatan itu adalah kerana dia tidak tahan menanggung
kesakitan akibat dari luka yang dialaminya. Akhirnya dia mati bukan kerana
berlawan dengan musuhnya, tetapi membunuh dirinya sendiri. Melihatkan
keadaannya yang parah, ramai orang menyangka yang dia akan masuk
syurga. Tetapi dia telah menunjukkan dirinya sebagai penduduk neraka."
Menurut Rasulullah S.A.W lagi, sebelum dia mati, Qotzman ada mengatakan,
katanya, "Demi Allah aku berperang bukan kerana agama tetapi hanya
sekadar menjaga kehormatan kota Madinah supaya tidak dihancurkan oleh
kaum Quraisy. Aku berperang hanyalah untuk membela kehormatan kaumku.
Kalau tidak kerana itu, aku tidak akan berperang."
Riwayat oleh Luqman Hakim.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...