KISAH LUQMAN AL-HAKIM DENGAN TELATAH MANUSIA

Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman Hakim telah
masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya
mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, setengah orang pun
berkata, 'Lihat itu orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya
dibiarkan berjalan kaki."

Setelah mendengarkan desas-desus dari orang ramai maka Luqman pun
turun dari himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat yang
demikian, maka orang di passar itu berkata pula, "Lihat orang tuanya berjalan
kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab anak
itu."

Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas
belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai
pula berkata lagi, "Lihat itu dua orang menaiki seekor himar, adalah sungguh
menyiksakan himar itu."

Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan
anaknya turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata,
"Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dikenderai."
Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman
Hakim telah menasihatai anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka,
katanya, "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan
manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan
melainkan kepada Allah S.W.T sahaja. Barang siapa mengenal kebenaran,
itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."

Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya, "Wahai
anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir.
Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga
perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya
(mudah tertipu dan diperdayai orang) dan hilang kemuliaan hatinya
(keperibadiannya), dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya."




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...