Lenyapkan mitos stereotaip etnik

Toleransi adalah perkataan yang tidak sesuai digunakan bagi menggambarkan bagaimana memahami kepelbagaian budaya kerana ia adalah penerimaan kepada orang lain tetapi dalam keadaan terpaksa.

Maknanya, kita mungkin tidak suka dengan budaya atau nilai diamalkan sesuatu bangsa tetapi menyesuaikan diri atas dasar terpaksa. Sebaiknya, hidup dalam masyarakat pelbagai budaya bukan berasaskan toleransi tetapi sifat menghargai dan menghormati. Ketua Jabatan Pengajian Melayu dan Profesor Madya Sosiologi Universiti Nasional Singapura (NUS), Prof Dr Syed Farid Alatas, berkata berapa ramai bukan Islam boleh tahan dengan kedudukan kereta yang diletakkan berlapis di sekitar masjid setiap Jumaat.

Bagaimanapun, suka atau tidak keadaan itu perlu diterima kerana ia sebahagian daripada kepelbagaian budaya dan agama di negara ini. Malaysia katanya, bukan negara diasaskan pada orientasi kepelbagaian budaya tetapi memiliki banyak budaya.

“Cabaran sebenar memahami kepelbagaian budaya ialah menerima perbezaan. Oleh itu, cara terbaik ialah menghormati bangsa lain bukan bertolak ansur,” katanya yang menyampaikan ceramah ‘Dialog, Fahaman Pelbagai Budaya dan Perpaduan Negara’ anjuran Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS).

Beliau turut menjelaskan dua faktor yang menjadi pemisah kepada perpaduan iaitu stereotaip etnik serta tindak-tanduk dan kenyataan politik.

Stereotaip kekal

Prof Syed Farid berkata, stereotaip yang tidak pernah diubah menyebabkan persepsi terhadap bangsa lain kekal walaupun secara umumnya mereka tidak akan menyatakan nilai negatif dikaitkan dengan sesuatu bangsa itu secara terbuka.

Katanya, keadaan dikeruhkan lagi oleh kenyataan politik serta tindakan ahli politik yang tidak memberi gambaran jelas mengenai sesuatu isu hingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat pelbagai bangsa di negara ini.

Beliau memberi contoh perbahasan mengenai pelaksanaan undang-undang hudud yang menyebabkan ketegangan disebabkan wujud pelbagai pandangan daripada orang di sekeliling hingga menghakis semangat menghargai kepelbagaian budaya dalam masyarakat.

“Kini agama dan budaya bukan masalah, tetapi politik yang menjadi masalah. Konflik budaya juga disebabkan politik kerana kebanyakan isu dipengaruhi oleh kepentingan politik. Seperti Malaysia, stereotaip sudah wujud maka mudah untuk mencetuskan sentimen,” katanya.

Sebagai kaedah menanamkan semangat memahami kepelbagaian budaya, beliau menyarankan dilakukan transformasi sistem pendidikan yang menggalakkan kefahaman kepelbagaian budaya bagi melenyapkan mitos stereotaip etnik yang tertanam sejak dulu.

Prof Syed Farid berkata, sistem pendidikan tidak memberi gambaran sebenar termasuk menerangkan kepada pelajar sesuatu perkara daripada perspektif berbeza dan bagi tujuan itu, banyak perlu dilakukan.

“Kita tidak menerangkan kepada pelajar situasi sebenar. Apabila pelajar diajar Matematik, mereka tidak dimaklumkan mengenai sumbangan bangsa Cina dan India. Matematik bukan sumbangan orang Arab saja. Pelajar berhak tahu sesuatu perkara daripada perspektif lain,” katanya.

Sokong transformasi pendidikan

Beliau mengalu-alukan usaha Kementerian Pelajaran melakukan transformasi sistem pendidikan untuk meningkatkan pencapaian pelajar kerana tahap pendidikan Malaysia sepatutnya sudah setanding negara lain seperti Korea dan Taiwan.

Katanya, disebabkan terlepas pandang, sistem pendidikan negara gagal menjadi penyumbang utama kepada pembangunan peribadi yang menyumbang kepada pembangunan sosial dan negara.

Pandangan beliau itu dipersoalkan seorang peserta yang berpendapat sistem pendidikan negara sudah berjaya sementara pelajar kini lebih cenderung kepada media baru yang menjadi sumber rujukan.

Prof Syed Farid berkata, adanya media baru lebih menguatkan lagi mengapa sistem pendidikan perlu diperkasakan kerana tidak semua yang diperoleh daripada media baru seperti internet itu bagus.

“Kanak-kanak juga didedahkan kepada pendidikan formal terlebih dulu sebelum mereka kenal internet. Jadi penting mereka mendapat pendidikan formal yang mantap,” katanya.

Bagaimanapun, pada akhir ceramahnya, Prof Syed Farid membangkitkan mengenai keberkesanan program ceramah yang diadakan yang pada pandangannya tidak ke mana jika maklumat tidak disebarkan kepada umum dan pihak mempunyai kuasa untuk melakukan perubahan.

Sumber: Berita Harian

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...