HIDUP ADALAH ...

❤️HIDUP ADALAH  BELAJAR.....
Aku belajar lebih banyak diam daripada banyak bicara... 
Aku belajar bersabar dari sebuah kemarahan... 
Aku belajar mengalah dari sebuah keegoisan... 
Aku belajar tersenyum dari suatu kesedihan.... 
Aku belajar tegar dari suatu masalah... 

❤️HIDUP ADALAH  BELAJAR..... 
Belajar bersyukur meskipun tak puas... 
Belajar ikhlas meskipun tak rela.... 
Belajar taat meskipun berat... 
Belajar memahami meskipun tak sehati... 
Belajar sabar meski terbebani... 
Belajar memberi meski tak seberapa... 
Belajar mengasihi meski tersakiti.... 
Belajar tenang meski gelisah.... 
Belajar percaya meski susah.... 
Belajar tabah meski cubaan menerpa...

❤️​ HIDUP ADALAH  BELAJAR.....
Aku belajar....
bahawa tidak selamanya hidup ini indah,
kadang ALLAH menyapaku melalui derita. Tetapi aku tahu bahawa IA tidak pernah meninggalkanku, sebab itu aku belajar menikmati hidup dengan bersyukur. 

❤️​HIDUP ADALAH  BELAJAR.....
Aku belajar....
bahawa tidak semua yang aku harapkan akan menjadi kenyataan,
kadang ALLAH membelokkan rencanaku. 
Tetapi aku tahu bahawa itu lebih baik dari yang kurencanakan,
sebab itu aku belajar menerima semua itu dengan sukacita.   

❤️​HIDUP ADALAH  BELAJAR.....
Aku belajar....
bahawa cubaan itu pasti datang dalam hidupku.
Aku tak mahu dipengaruhi syaitan untuk marah dan emosi,
aku tak mau menyalahkan orang lain,
Juga tidak mungkin berkata "tidak adil ALLAH". 
Kerana aku tahu bahawa semua itu tidak akan melampaui kekuatanku.
Sebab itu aku belajar menghadapinya dengan sabar. 

❤️HIDUP​ ADALAH  BELAJAR.....
Aku belajar....
Bahawa tidak ada kejadian yang harus disesali & ditangisi, kerana semua rancanganNYA indah bagiku. 

Maka dari itu aku belajar bersabar, bersyukur & bersukacita dalam segala perkara. 
Kerana semua itu menyihatkan jiwa & menyegarkan hidupku... 

HARTA KARUN SYURGA

Sahih al-Bukhari:5930

Dari Abu Musa al-Asy'ari, dia berkata: Nabi saw. bersabda:

Wahai Abu Musa, atau wahai Abdullah, mahukah aku tunjukkan kepadamu suatu kalimat yang termasuk dari harta karun Syurga?

Aku menjawab: Tentu. Beliau bersabda: Laa haula wa laa quwwata ilIa billaah (Tiada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan AlIah.)

PERINGATAN

1. Anjuran untuk bertawakkal.
2. Anjuran untuk membaca
لا حول ولا قوة إلا بالله
3. Melepas kemampuan diri dan bersandar pada kekuatan Allah merupakan harta karun syurga.

RAMADHAN AKAN PERGI DAN EIDUL FITRI MENJELANG TIBA

Ramadhan sudah sampai penghujungnya, bulan yang penuh keberkatan ini akan pergi meninggalkan kita.

Bagi hati Mukmin, perginya Ramadhan membuat hati merasa sayu dan sedih, kerana kehadiran Ramadhan membawa seribu kebaikan dan kegembiraan iaitu mendapat rahmat Allah, pengampunan dari segala dosa dan pembebasan dari seksaan api Neraka.

Kelebihannya tidak ada pada bulan-bulan yang lain.

Sebulan kita menahan lapar. Ringan badan beribadah. Berlapar menutup pintu hasutan syaitan. Muslimin mengikis penyakit-penyakit hati seperti hasad, ego, ‘ujub, sum’ah, bakhil, buruk makan, cinta dunia dan panjang angan-angan. Membuang sifat malas dan berpoya, berpecah dan berseteru.

Madrasah Ramadhan merupakan proses tarbiyah dan tazkiyah pada hati, jiwa dan roh kepada pembersihan sebenar yang mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Natijah dari segala proses di madrasah ini melahirkan hati yang bertakwa kepada Allah SWT. Takwa inilah merupakan pakaian orang mukmin, pakaian inilah yang dipakainya untuk menghadapi sebelas bulan yang akan datang.

Sahabat yang dimuliakan,

Adakah Ramadhan kali ini, merupakan Ramadhan yang terbaik pernah sahabat rasai?

Adakah segala amal ibadah, puasa, doa, munajat, tafakur, sedekah, bacaan al-Quran yang kita laksanakan memberi kesan yang mendalam pada hati , jiwa dan perasaan dan benar-benar dapat merasai kemanisannya?

Meningkat atau tidak meningkatnya tarbiyah ruhiyah ini, berkesan atau tidak berkesannya proses tamrin ini bergantung pada peribadi masing-masing sejauhmana dia hayati Ramadhan. Sejauh itulah dia akan rasa kemanisannya.

Berbahagialah sesiapa yang diubah perangainya oleh Ramadhan. Ia terlepas dari celaan seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;

“Terjauhlah (dari rahmat) sesiapa yang sempat bertemu dengan Ramadhan (tetapi tidak memperdulikannya) maka Allah tidak mengampunkannya.”

(Hadis Riwayat al-Hakim dari Kaab bin ‘Ujrah)

Sahabat boleh muhasabah diri sendiri, kesan yang paling nyata adalah amal ibadah dan amal soleh yang kita laksanakan semasa Ramadhan akan dapat kita teruskan dan istiqamah pada bulan-bulan berikutnya , malah mungkin lebih baik lagi.

Jika ini berlaku , ini bermakna ciri-ciri takwa itu dapat kita perolehi. Takwa itu ia tidak tersimpan didalam hati sahaja tetapi ia akan dilahirkan dalam berfikir, dalam tindakkan dan membuat keputusan, nampak jelas dalam peribadi, akhlak, tutur kata, pergaulan dan amalan hariannya.

Apakah kalian bertemu malam Lailatul Qadr?

Malam-malam ganjil 21, 23, 25 dan 27 telah berlalu yang belum hanya malam 29.

Yang pasti kalian telah bertemu Lailatu Qadr hanya kalian tidak mengetahui malam Ramadhan ke berapa dan bila saatnya berlaku!

Ulama menyatakan bahawa sesiapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah disepanjang Ramadhan dia sebenarnya telah mendapat malam Lailatul Qadr.

Dalam hadis yang lain menyatakan bahawa fadilat solat Isyak berjemaah seolah-olah mendapat pahala mengerjakan solat separuh malam dan fadilat solat Subuh berjemaah seolah-olah mendapat pahala mengerjakan solat sepanjang malam.

Kita mohon kehadrat Allah SWT semoga keberkatan malam Lailatu Qadr tahun ini dapat memberi kesan pada hati, jiwa dan kehidupan kita yang lebih baik dan mendapat keredhaan Allah SWT.

BERAMAL SOLEH SAAT PINTU LANGIT DIBUKA

Allah SWT berfirman;

فَفَتَحْنَا أَبْوَابَ السَّمَاءِ بِمَاءٍ مُنْهَمِرٍ

"Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah" [Surah al-Qamar 11]

Hari-hari kita memandang langit, satu ciptaan yang hebat. Namun, tahukah kita bahawa langit mempunyai pintu-pintu yang pastinya tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Namun, Allah SWT menyebut di dalam firmanNya dan Nabi SAW juga menyebut tentang pintu-pintu langit, maka wajib kita mengimaninya.

Berkata para ulamak, dibuka pintu-pintu langit adalah ianya benar-benar dibuka yang menunjukkan peluang untuk mendapat rahmat dan kemakbulan doa daripada Allah SWT.

Antara maksud pintu langit dibuka ialah doa dimakbulkan dan amal soleh diangkat dan diterima dengan baik. Justeru, hendaklah kita memperbanyakkan amalan-amalan soleh pada waktu-waktu pintu langit dibuka oleh Allah SWT. Tidak syak lagi bahawa amalan yang paling mulia adalah berdoa. Maka mohonlah sebarang hajat yang diperlukan.

Waktu-waktu pintu langit dibuka:

1. Saat wahyu turun berkaitan penurunan surah al-Fatihah dan dua ayat terakhir surah al-Baqarah (HR Muslim)

2. Semasa dan selepas azan (Hadis sahih nukilan Imam as-Suyuthi dlm al-Jami' as-Saghir)

3. Ketika tergelincir matahari hingga solat zohor (Hadis hasan nukilan Imam al-Haithami dlm at-Targhib wat Tarhib)

4. Sepanjang bulan Ramadhan (HR al-Bukhari)

5. Pada satu pertiga malam terakhir/penghujung  (HR Ahmad. Sahih)

♡ Ayuh, berusahalah untuk memburu waktu-waktu pintu langit terbuka untuk berdoa, beristighfar, berzikir, berselawat, membaca al-Quran, bersedekah, bermunajat, melakukan perkara-perkara makruf dan menggandakan amal-amal soleh. Moga kita sentiasa memperolehi rahmat daripada Allah SWT ♡
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...