Kisah Abu Yazid Al-Bustami

Abu Yazid Al Bustami seorang ahli Sufi yang dikejutkan oleh mimpinya supaya pergi ke gereja Samaan. Tiga kali mimpinya itu berulang. Lalu ia bersiap dengan pakaian dan cara yang diberitahu dalam mimpinya. Ia masuk ke gereja Samaan tanpa diketahui oleh Paderi-paderi yang hadir. Dia bersama-sama paderi lain menanti kedatangan ketua Paderi. Setelah ketua Paderi datang, ketua Paderi itu tidak dapat berucap. Dia tahu ada orang lain, orang Islam di dalam gereja itu. Katanya, ” ada orang yang percaya kepada Syariat Muhammad di dalam gereja ini.”

Semua paderi menjadi gempar dan mereka menghendaki orang itu di bunuh. Namun ketua paderi mencegahnya, sebaliknya ketua paderi meminta orang itu bangun supaya mereka dapat mengenalinya. Abu Yazid Al-Bustami pun bangun, tanpa rasa takut.

Menjawab 50 pertanyaan bertanya 1 pertanyaan.
Ketua paderi berkata, “wahai pengikut Muhammad, saya akan mengajukan pertanyaan kepada kamu. Jika kamu dapat menjawab semuanya dengan benar, maka saya akan mengikuti agama kamu. Namun jika kamu tidak dapat menjawabnya, maka kami akan membunuhmu.”
Jawab Abu Yazid, “baiklah! Tanyakan apa saja yang kamu ingin tanyakan.”

Ketua paderi itu mengemukakan 50 pertanyaan bertubi-tubi dan kemudian Abu Yazid menjawabnya dengan tepat.

Berikut ini Pertanyaan Ketua Paderi. Dan Jawapan Abu Yazid Al-Bustami

1. Yang satu tidak ada duanya.
Kewujudan Allah Maha Esa. Dia Tuhan yang tunggal tiada sekutu baginya.

2. Yang dua tiada tiganya.
Malam dan siang. Apabila pergi malam datanglah siang dan apabila pergi siang datanglah malam.

3. Yang tiga tiada empatnya.
Kursi, Kalam dan Arash Allah SWT

4. Yang empat tiada limanya.
Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran.

5. Yang lima tiada enamnya.
Islam telah memfardukan solat lima waktu: Zohor, Asar, Maghrib, Ishak dan
Subuh.

6. Yang enam tiada tujuhnya.
Hari-hari Allah telah menciptakan langit dan bumi. Ini semua tersebut didalam Kitab-kitab suci juga.

7. Yang tujuh tiada delapannya.
Tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi yang disebut di dalam Kitab Suci juga.

8. Yang delapan tiada sembilannya.
Bilangan Malaikat yang memikul Arash Allah Taala yang disebutkan di dalam Kitab Suci (ertinya): dan akan memikul Arash Tuhan kamu pada hari (Kiamat) itu adalah delapan Malaikat.

9. Yang sembilan tiada sepuluh.
Bilangan kaum daripada golongan manusia yang menjadikan kerosakan bumi Allah, sebagaimana yang tersebut di dalam Kitab Suci (ertinya): di dalam kota itu dahulu terdapat sembilan kumpulan yang menjadi perosak bumi, mereka tidak pernah melakukan yang baik.

10. Sepuluh yang sempurna.
Kewajiban puasa sepuluh hari ke atas orang yang berihram haji sebagaimana firman Allah Taala (ertinya): Maka hendaklah ia (orang yang berihram haji) berpuasa tiga hari semasa haji dan tujuh hari setelah kembali ke negerinya.Itulah dia sepuluh yang sempurna.

11. Yang sebelas.
Saudara-saudara Nabi Yusuf as.

12. Yang dua belas.
Bilangan bulan dalam setahun.

13. Yang tiga belas
Mimpi Nabi Yusuf as yang tersebut di dalam Kitab Suci:
Sesungguhnya Aku melihat sebelas bintang, matahari dan bulan. Jumlahnya tiga belas.

14. Orang yang berdusta, kemudian dapat masuk Syurga.
Mereka ialah saudara-saudara Nabi Yusuf as. Mereka memberitahu
ayah mereka Nabi Yaakob as bahawa Yusuf telah di makan serigala.
Mereka membawa pakaiannya yang dilumur dengan darah kambing. Perkara yang mereka lakukan itu adalah suatu dusta.

15. Orang yang benar, tetapi mereka dimasukkan ke dalam neraka.
Mereka ialah kaum Yahudi dan Nasrani, sesuai dengan firman Allah Taala (ertinya) : telah berkata, Kaum Yahudi, kaum Nasrani itu tidak benar dan berkata kaum Nasrani pula kaum Yahudi itu tidak benar. Kedua-dua kaum itu berkata benar pada tuduhan mereka antara satu dengan lain, namun mereka tidak mau tunduk kepada kebenaran yang ada di hadapan mereka yaitu mempercayai agama yang di bawa oleh Nabi Muhammad saw sebagai penyempurna agama yang sebelumnya. Lantaran itu mereka menduduki neraka.

16. Tempat roh dalam badan manusia.
Roh berada di dalam tubuh badan manusia yang hanya diketahui hakikatnya oleh Allah Taala kerana roh adalah merupakan urusan Allah Taala jua, berdasarkan firmannya (ertinya): katakan roh itu dari perkara urusan Tuhanku.

17. Al Zariyati Zarwa.
Nama empat macam angin.

18. Al Hamilati Wakra.
Awan gemawan di dada langit.

19. Al Jariyati Yusra.
Perahu-perahu yang belayar di laut.

20. Al Mukassimati Amra.
Malaikat-malaikat yang bertugas membahagi-bahagikan rezeki kepada manusia pada malam Nisfu Syaaban.

21. Yang empat belas.
Tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi yang sesuai dengan firman Allah
Taala (ertinya): Maka Allah berfirman kepadanya iaitu kepada tujuh petala
langit dan tujuh lapis bumi, datanglah kepada aku secara patuh terhadap
perintahku ataupun secara terpaksa. Maka berkata kedua-dua langit dan bumi, “kami akan datang kepadamu secara patuh dan taat.”

22. Kubur yang berjalan dengan penghuninya.
Ikan besar yang menelan Nabi Yunus as. Nabi Yunus as
di bawa oleh ikan ke mana-mana sahaja yang akhirnya dimuntahkan di pantai dengan izin Allah Taala.

23. Yang bernafas, tetapi tidak mempunyai roh.
Waktu subuh seperti firman Allah Taala (artinya): demi subuh apabila ia
bernafas.

24. Air yang tidak turun dari langit dan tidak keluar dari bumi.
Air yang dikirim oleh ratu Balqis kepada Nabi Sulaiman as di dalam botol yaitu air peluh kuda.

25. Empat yang bukan daripada golongan manusia, Malaikat dan bukan
daripada punggung lelaki dan daripada perempuan. Kibas yang di bawa Jibril as sebagai korban ganti Nabi Ismail as, unta Nabi Salleh as yang disembelih kaumnya, Nabi Adam as dan Siti Hawa .

26. Satu ciptaan Allah, lalu diingkarinya sebagai satu yang buruk.
Suara keledai yang tidak sedap didengar, sesuai dengan firman Allah Taala (ertinya): sesungguhnya suara yang paling buruk ialah suara keledai

27. Darah yang mula-mula mengalir ke bumi.
Darah Habil yang dibunuh oleh saudaranya Kabil.

28. Sesuatu ciptaan Allah, lalu diangkat sesuatu yang berat.
Muslihat kaum wanita, seperti Firman Allah Taala (ertinya): sesungguhnya tipu muslihat wanita adalah suatu tipu muslihat besar atau berat.

29. Pada mulanya sebatang kayu kemudian menjadi roh.
Tongkat Nabi Musa as

30. Wanita yang paling utama.
Hawa, ibu sekalian manusia, kemudian Khatijah dan Aisyah, Asiah (isteri Firaun) dan Maryam Binti Imran.

31. Gunung yang paling utama.
Gunung Tursina

32. Binatang yang paling utama. Kuda.

33. Bulan yang paling utama.
Bulan Ramadhan.

34. Malam yang paling utama.
Lailatul Qadar.

35. Tentang Atta’mah.
Hari Kiamat.

36. Pohon yang mempunyai 12 ranting, setiap ranting ada 30 daun, setiap daun ada lima kembang, dua bunga di matahari dan tiga bunga di tepi kegelapan.

Pohon itu “tahun” yang padanya ada 12 bulan, satu bulan ada 30 hari. Lima itu ialah lima waktu solat.

37. Satu benda yang pergi haji dan tawaf di Baitullah, tetapi tidak mempunyai roh dan tidak wajib haji. Bahtera Nabi Nuh as.

38. Empat jenis air yang lain rupanya dan rasanya, tetapi sumbernya satu.
Air mata, air telinga, air hidung dan air mulut. Air mata masin, air telinga pahit, air hidung masin dan air mulut tawar.

39. Nakir, fatil dan kitmir.
Nakir ialah titik yang terdapat pada kulit luar benih, fatil ialah titik yang terdapat di dalam benih dan kitmir ialah kulit yang membaluti benih.

40. Sabid dan Labad.
Bulu kambing biri-biri dan kambing kasi.

41. Sam dan Ram.
Makhluk yang telah ada sebelum wujud Nabi Adam as.

42. Maksud keldai nguaknya.
Keldai nguak tanda ia melihat syaitan, lalu ia berkata: Allah melaknatnya.

43. Maksud anjing menyalak.
Anjing menyalak bermaksud: Awas! Celaka bagi penghuni-penghuni neraka dari kemurkaan Allah yang Maha Berkuasa.

44. Maksud jeritan kuda.
Kuda menjerit bermaksud: Maha Suci Allah yang memeliharaku ketika tentara berpadu menyerang musuh dengan penuh semangat.

45. Maksud jeritan unta.
Unta menjerit membawa maksud: Hasbiyallahu Wakafa Billahi Wakila
(ertinya): Memadailah Allah bagiku dan cukuplah Dia tempat aku menyerahkan diriku.

46. Maksud nyanyian burung Bulbul.
Nyanyian Bulbul bermaksud: Maha suci Allah pada waktu pagi dan pada waktu petang.

47. Maksud bunyi katak.
Bunyi katak bermaksud: Maha suci Tuhan yang di sembah di mana-mana sahaja ada makhluknya dan di tempat-tempat yang tiada penghuninya.

48. Maksud kata-kata burung Nakus.
Maksud kata-katanya: Maha suci Allah sungguh-sungguh! Wahai anak Adam!

Lihatlah di barat dan di timur di dunia itu, adakah makhluk yang menongkat langit?

49. Kaum daripada makhluk Allah yang diutus kepadanya, namun ia bukan dari kumpulan jin, manusia dan Malaikat.

Makhluk itu adalah lebah seperti Firman Allah Taala (ertinya): dan Tuhan
kamu telah mewahyukan kepada lebah.

50. Di mana malam ketika siang dan di mana siang ketika malam.
Kedua-duanya berada di dalam ilmu Allah Taala yang amat sulit.

Kata Abu Yazid, “saya sudah jawab semua pertanyaan tuan. Sekarang apakah ada lagi pertanyaan-pertanyaan yang lain?”
Semua pendeta menjawab, “tidak ada lagi,”
Kemudian Abu Yazid mengemukakan pertanyaan kepada mereka. “beritahu saya kunci Syurga dan Neraka langit.”

Tidak seorang pun yang dapat menjawabnya dan mereka mengaku
bahwa memang mereka tidak tahu jawapannya. Baru satu pertanyaan sudah tidak dapat dijawab sedangkan Abu Yazid telah menjawab berpuluh pertanyaan. Mereka meminta ketua paderi menjawab, namun ia membisu.
Katanya, “bukan saya tidak mau menjawab, tetapi saya takut kamu semua
tidak sependapat.”

Mereka hairan dan tersepit setelah mendengar kata-kata ketua paderi itu. Akhirnya mereka mendesak juga dan bersedia untuk menyetujui serta menerima kata-kata ketua mereka.

Kemudian ketua Paderi menjawab “Bahwa kunci Syurga dan Kunci langit itu tidak lain ialah “LAILA HAILLALLAH HU MUHAMMAD DARASULULLAH.” Tegas ketua paderi.

Mereka semua tersentak, terdiam. Lalu Abu Yazid berkata, “memang benar kata ketua kamu ini.” Semua paderi mesti memeluk Islam, Abu Yazid menuntut janji kepada ketua paderi dan persetujuan pengikut-pengikutnya.

“Sahabat-sahabat sekalian percayalah bahwa apa yang saya ceritakan ini adalah benar. Saya tidak dipaksa oleh siapapun dalam mengucapnya. Memang sudah lama saya fikirkan hendak menyampaikan masalah ini kepada sahabat-sahabat semua, tetapi saya bimbang sahabat-sahabat tidak akan percaya kepada saya lagi. Saya hanya menunggu waktu.”
“Dari mana tuan mengetahui perkara ini?” Tanya salah seorang paderi.
“Dari ketua sebelum saya.” Jelas ketua paderi.

“Sebelum ketua itu meninggal dunia dia telah bersumpah bahawa perkara yang dikatakan itu adalah benar.” Sambung ketua paderi itu.
“Kalau begitu, apa lagi yang kita tunggu!” Ketua paderi dan pengikut-pengikutnya semuanya memeluk Islam disebabkan oleh Abu Yazid. Ilmu Abu Yazid telah menyelamatkan daripada maut. Ilmu ketua paderi telah menyelamatkan daripada kesesatan dan ilmu kedua-duanya telah menutup tabir kejahilan dan menyingkap tabir kebenaran dan Islam!
Dengan hidayah Allah Taala, kesemua paderi itu memeluk agama Islam. Gereja ditukarkan menjadi masjid, salib yang dipakai di leher mereka dilemparkan ke dalam laut. Selesailah sejarah para paderi yang selama ini diambang kesesatan, lantaran hadir seorang yang ikhlas dan benar dalam kata-katanya untuk berkhidmat kepada Islam, maka kesemua kumpulan paderi tadi telah melihat cahaya kebenaran dan memeluk Islam.
Abu Yazid Al- Bustami, setelah berhari-hari bersama teman-teman yang baru Islam kemudian memohon untuk beredar dari situ.
Dalam perjalanannya, Abu Yazid kedengaran lagi suara lama itu, Katanya kali ini; Wahai Abu Yazid! Engkau keberatan untuk memakai salib itu untuk Aku, dan kerana itu Aku memutuskan lima ratus salib untuk kamu.’
Moga mereka semua dirahmati Allah. InsyaAllah. Wallahualam.

Imam Hambali Dengan Cubaan Dunia

Setelah bertahun-tahun duduk di dalam penjara, akhirnya Imam Hambali dibebaskan ketika usianya sudah tua. Beliau di penjara semenjak zaman Khalifah Al-Makmum sampai pada masa Khalifah Al-Mu'tashim dan di teruskan pula pada masa Khalifah Al-Wathiq kerana mempertahankan pendiriannya bahawa Al-Quran itu bukan makhluk.

Hanya pada masa pemerintahan Khalifah Al-Mutawakkil, kerajaan dengan rasminya menyokong kebenaran yang dipertahankan oleh Imam Hambali. Dengan demikian Imam Hambali dibebaskan dari penjara dengan penuh penghormatan.

Sebaik saja dibebaskan dari hukuman penjara, beliau berasa dirinya dihadapkan pada ujian dan cubaan yang kedua. Hal ini bermula apabila beliau dibawa ke istana untuk diberi penghormatan sempena pembebasnya. Khalifah sangat suka dan hormat kepada Imam. Khalifah memberinya hadiah sebuah baju yang sangat bagus dan dipakaikannya sekali oleh baginda. Maka mulalah beliau berasa bahawa hadiah dan penghormatan pada dirinya itu sebagai cubaan dan fitnah secara halus.

Kata beliau  "Saya telah selamat dari bahaya mereka selama ini, tetapi apabila ajal saya sudah hampir datang seperti sekarang ini, saya diuji oleh mereka dengan harta benda dan dunia mereka."

Setelah sambutan di istana selesai, beliau diizinkan balik ke rumah. Beliaupun melangkah, dan sebaik saja tiba di luar istana pakaian bagus yang dihadiahkan oleh Khalifah itu serta merta ditanggalkannya. Beliaupun balik dengan memakai pakaian buruk yang dipakai selama di dalam penjara.

Ketibaan Imam Hambali di rumahnya telah disambut oleh anak- anak, saudara mara dan murid-muridnya. Mereka merasa gembira bercampur sedih melihat Imam itu datang dalam keadaan kurus dan seluruh badannya dengan kesan luka-luka, lebam, kelar dan kesan bakar dari api. Maklumlah selama dalam penjara beliau sentiasa diseksa oleh orang yang bertugas.

Beberapa hari kemudian, cubaan besar telah datang lagi pada diri Imam Hambali, iaitu Khalifah telah datang dengan membawa hadiah berupa wang sebanyak 10,000 dinar. Baginda Khalifah berpesan bahawa wang itu sebagai bantuan bagi beliau dan semua keluarganya yang selama ini menderita kerana kesilapan khalifah-khalifah yang sebelumnya.

Apakah wang sebanyak itu membuat beliau gembira dan senang lenang? Tidak, sekali-kali tidak. Sebaliknya beliau gelisah dan risau dengan wang itu dan mengganggapnya sebagai fitnah dan cubaan yang tidak kurang hebatnya dengan penderitaan didalam penjara. Akibat wang yang banyak itu, Imam Hambali tidak dapat tidur pada malam hari. Pada pagi harinya, Imam Hambali memanggil anaknya, sambil menangis beliau berkata: "Saya tidak dapat tidur pada malam hari. Saya telah selamat dari dari ujian yang diperbuat oleh mereka, tetapi sekarang dalam umur yang sudah tua sebegini saya diuji pula dengan harta dunia mereka."

Maka dengan tidak menunggu sampai dua hari, Imam Hambali telah mengeluarkan semua wang yang dihadiahkan oleh Khalifah kepada beliau. Semua wang yang diagih-agihkannya kepada para keturunan sahabat Mujahirin dan Ansar dan baki yang masih ada disedekahkan kepada orang yang berhajat. Habislah wang 10,000 dirham itu dalam masa yang singkat.

Beliau sendiri tidak menggunakannya.Perhatian Khalifah Al-Mutawakil terhadap Imam Hambali bukan hanya sekadar menghadiahkan wang 10,000 dirham itu sahaja, tapi masih banyak yang lain lagi. Setaip hari petugas dari istana datang kerumah Imam untuk memeriksa kesihatan beliau. Jika didapati beliau menderita sesuatu penyakit, Khalifah akan menghantar doktor peribadinya untuk mengubat beliau.

Selain itu setiap hari pula Khalifah menghantar berbagai-bagai hadiah untuk memenuhi keperluan Imam. Tetapi sebaik sahaja hadiah-hadiah itu diterima, beliau terus sedekahkannya kepada fakir miskin dan orang yang berhajat. Diceritakan bahawa Khalifah Al-Mutawakil sangat ingin berjumpa dengan Imam. Namun Imam sentiasa menolak keinginan Khalifah dengan cara yang baik-baik. Dikemukannya berbagai alasan yang munasabah kepada Khalifah agar baginda tidak menemuinya.

Mengapa Imam Hambali sentiasa menolak apabila ingin ditemui Khalifah? Ya, kerana Imam Hambali dengan kekuatan kashsyafnya dapat mengagak bahawa Khalifah ingin memberinya pangkat dan kedudukan tinggi disamping baginda. Dengan demikian beliau berasa bahawa Khalifah akan mengajaknya untuk mengharungi kemewahan hidup di dunia yang tinggal sejengkal ini.

Sehubungan dengan perasaan itu, beliau berkata  "Ini tidak lain hanyalah fitnah dunia, dan penderitaan pada masa lalu itu adalah fitnah bagi agama."

Imam Hambali pernah berkata: "Tidak ada bahaya bagi iman melainkan cinta keduniaan, dan tidak ada bahaya bagi hati melainkan tertarik pada perhiasan dunia. Makan apabila iman telah rosak dan hati telah hancur, apa lagi yang dibanggakan oleh seseorang di hadapan Allah kelak?."

Ciri-Cri Hati Yang Sihat

Pertama: Jika ia tertinggal wiridnya dari Al-Quran atau zikrullah, atau suatu peribadatan lainnya, maka ia merasakan sakit yang tiada terperi melebihi sakit orang yang tamak dan kikir ketika kehilangan barang kesayangannya.

Kedua : Ia sentiasa merindui untuk mengabdikan diri di jalan Allah seperti rindunya seseorang kepada orang yang amat disayangi.

Ketiga : Tujuan hidupnya hanya satu, iaitu taat kepada Allah SWT.

Keempat : Bila ia sedang melakukan solat, maka hilanglah semua kegundahannya pada kenikmatan dunia yang sementara. Di dalam solat telah ia temukan kenikmatan dan kesejukan jiwa yang suci.

Kelima: Sangat menghargai waktu dan tidak mensia-siakannya, melebihi rasa kekhuatiran orang bakhil menjaga hartanya.

Keenam: Tidak pernah terputus dan malas dalam mengingati Allah.

Ketujuh: Lebih mengutamakan pada pencapaian kualiti atas suatu amalan perbuatan daripada kuantitinya. Lebih cenderung kepada keikhlasan beribadat.

Empat jenis racun hati
Berlebihan dalam berbicara
Berlebihan dalam memandang
Berlebihan dalam makan
Berlebihan dalam bergaul

Ada Apa Dengan Bulan Rejab

Rejab ertinya mulia atau agung. Bulan Rejab begitu dianggap mulia khususnya bangsa Arab. Orang-orang Arab menamakan bulan Rejab kerana pada masa dahulu mereka begitu memuliakan bulan tersebut dengan berbagai cara, di antaranya:

1. Mereka menyembelih unta pada tanggal 1 Rejab sebagai binatang korban dan menamakan korban itu dengan nama Fara'

2. Menjelang 10 Rejab, mereka kan menyembelih seekor lagi unta dan korban ini dinamakan Utairah

3. Sepanjang bulan Rejab, mereka diharamkan berperang dan berbunuhan

4. Pada tanggal 1 Rejab, mereka akan membuka pintu Kaabah sepanjang hari dengan tujuan memberi peluang kepada orang ramai beribadat sepuas-puasnya.

Walaubagaimanapun,setelah kedatangan Islam,sebahagian amalan tersebut tidak dilakukan lagi seperti menyembelih unta pada 1 dan 10 Rejab berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Tidak ada penyembelihan haiwan pada tanggal 1 dan 10 Rejab dalam Islam"
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

BULAN REJAB DI DALAM AL QURAN DAN AS SUNNAH
Al Quran tidak menyebut secara khusus mengenai bulan Rejab dan kelebihannya melainkan terdapat dua surah yang menyebut secara tidak langsung iaitu Surah al Baqarah(ayat 194 dan 217) dan surah At Taubah (ayat 2,36 dan 37)

"Mereka bertanya kepadamu(wahai Muhammad) mengenai(hukum)berperang dalam bulan yang dihormati, katakanlah"Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi(orang-orang Islam) dari jalan Allah,dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat(orang-orang Islam) ke Masjidil Haram(di Mekah),serta mengusir penduduknya dari situ,(semuanya itu) adalah lebih besar dosanya di sisi Allah SWT. (Al Baqarah ayat 217)

Bulan Rejab merupakan salah satu daripada Al Ashur Hurum selain bulan Muharram, Zulkaedah dan Zulhijjah)

Manakala kebanyakkan hadis menceritakan amalan berpuasa dalam bulan ini walaupun tiada satu hadis sahih yang membuktikan bahawa berpuasa pada hari tertentu dalam bulan Rejab akan mendapat ganjaran istimewa.
Seorang lelaki dari Bahilah datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya"Ya Rasulullah, saya adalah lelaki yang datang menemui anda pada tahun pertama"Nabi bersabda"Kenapa keadaanmu telah jauh berubah padahal dahulunya kelihatan baik?Kata lelaki itu"semenjak berpisah dengan anda, saya tidak makan hanyalah di waktu malam "Maka tanya Rasulullah SAW"Kenapa kamu seksa diri kamu? Lalu sabdaNya"Berpuasalah pada bulan sabar-yakni bulan Ramadhan dan satu hari dari setiap bulan"Tambahlah buatku kerana saya kuat melakukannya!Ujar lelaki itu"Berpuasalah dua hari!Sabda Nabi."Tambahlah lagi"Mohon lelaki itu pula. Maka Nabi SAW bersabda"Berpuasalah dalam bulan suci(haram)lalu berbukalah!(kemudian diulangi sebanyak 3 kali)sambil mengucapkan itu Nabi SAW memberi isyarat dengan jari-jarinya yang tiga, mula-mula digenggam lalu dilepaskan"(hadis riwayat Ahmad, Abu Daud,Ibnu Majjah dan Baihaqi dengan sanad yang baik)

PERISTIWA PENTING BULAN REJAB
1. Hijrah Pertama Dalam Islam
Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung apabila pihak Musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Baginda dan orang yang beriman. Lalu Rasulullah memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.
Tujuan hijrah ini untuk menyelamatkan iman, keselamatan diri dan mencari tapak baru untuk agama Islam berkembang. Di antara yang berhijrah ialah Saidina Othman RA dan Isterinya Roqiah anak Rasulullah dengan jumlah kesemuanya adalah 14 orang. Habsyah dipilih kerana rajanya dikenali dengan sikap terbuka dan bertoleransi.

2. Israk dan Mikraj
Israk dan Mikraj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmaqdis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT.
Terdapat khilaf ulamak mengenai tarikh sebenar berlakunya peristiwa ini tetapi jumhur ulamak bersepakat menerima ianya berlaku pada 27 Rejab. Tetapi berlakunya peristiwa itu tidak penting kerana apa yang lebih penting ialah umat Isla wajib meyakini bahawa peristiwa ini adalah benar-benar berlaku ke atas diri Rasulullah SAW berdasarkan dalil qatie dari al quran dan hadis sahih.

3. Peperangan Tabuk
Peperangan Tabuk berlaku dalam tahun 9 hijrah di satu kawasan bernama Tabuk di utara Semenanjung Arab dengan bala tentera Rasulullah SAW seramai 30,000 orang. Akhirnya peperangan tidak berlaku kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dangeru n kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi pelbagai cabaran.Ia juga peperangan terakhir yang disaksikan oleh Rasulullah SAW.

4. Pembebasan Baitul Maqdis
Baitul Maqdis telah dibuka pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin Al Khattab RA. Akibat kelalaian dan perpecahan umat di zaman pemerintahan Abbasiyah,orang kristian(tentera Salib) telah melakukan serangan bertubu-tubi ke atas Baitul Maqdis dan akhirnya berjaya ditawan setelah 500 tahun dikuasai pemerintahan Islam. Tentera Salib telah mendudukinya selama 50 tahun sebelum dibebaskan kembali tentera Islam di bawah panglima perang Salehuddin Al Ayubi yang berjaya ditawan pada hari Jumaat 27 Rejab 583H. Pada tahun 1967/1387H, umat Yahudi pula menawan Baitul Maqdis dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

5.Lahirnya Imam Syafie RH
Nama sebenar Imam Syafie ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestine pada tahun 150H bersamaan 767M. Merupakan salah seorang daripada imam mazhab yang empat dan Malaysia adalah antara negara yang majoriti mengamalkan mazhab syafie. Salah satu peninggalan beliau yang amat berharga dan tidak ternilai harganya hingga menjadi rujukan hingga kini ialah Kitab Al Umm.

Satu perkara yang perlu juga dijelaskan ialah tiada amalan khusus dalam bulan Rejab yang diriwayatkan oleh Rasulullah SAW dari hadis-hadis sahih. Amalan tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah di bulan Rejab adalah bersandarkan kepada hadis-hadis lemah.
Namun masih banyak lagi amalan sunat secara umum yang masih boleh kita tunaikan di bulan Rejab ini sebagai persediaan menjelang tibanya bulan Ramadhan seperti qimullail, puasa Isnin dan Khamis. Tadarus Al Quran dan lain-lain lagi.Memperbanyak puasa sunat amat digalakkan agar tubuh kita tidak terkejut apabila menerima tuntutan ibadah puasa wajib di bulan Ramadhan.

Dua Belas Tidur Yang Sunat Dikejutkan

Mengejutkan orang yang tidur disunatkan sekiranya orang itu tidur dalam keadaan berikut:

Pertama:
seorang yang tidur di masjid dan waktu solat sudah tiba. Ini berdasarkan hadis Abu Bakrah ra, beliau berkata:

خرجت مع النبي صلى الله عليه وسلم لصلاة الصبح فكان لا يمر برجل إلا ناداه بالصلاة أو حركه برجله
“ Aku keluar bersama Nabi saw untuk menunaikan solat subuh. Beliau tidak lalu pada mana-mana lelaki melainkan akan menyerunya untuk solat atau menggeraknya untuk solat dengan kakinya.” (Hr Abu Daud 1246 – semua perawinya thiqah)

Kedua:
Orang yang tidur dihadapan orang yang solat kerana menggangu orang yang solat.

Ketiga:
Tidur diatas permukaan bangunan tanpa penghadang.
Rasulullah saw bersabda:

من بات على ظهر بيت ليس له حجار فقد برئت منه الذمة
“Sesiapa yang tidur diatas permukaan bangunan tanpa ada penghadang (dari jatuh bangunan), sesungguhnya telah terlepas dari tanggungjawab mana-mana pihak (sekiranya jatuh). (Hr Abu Daud – semua perawinya adalah thiqah)

Keempat:
Tidur dalam keadaan separuh badan terkena cahaya matahari dan setengah lagi tidak kena.

Nabi saw bersabda:

إذا كان أحدكم في الشمس فلقص عنه الظل وصار بعضه في الشمس وبعضه في الظل فليقم
“Apabila salah seorang kamu berada di bawah pancaran matahari, kemudian matahari menaik dan sebahagian tubuh mu terkena pancaran matahari dan sebahgian yang lain tidak kena , hendaklah dia beredar.” (Hr Abu Daud – semua perawinya thiqah)

Kelima:
Tidur waktu subuh.

Nabi saw bersabda:

الصبحة تمنع الرزق
“Tidur subuh menegah rezki.” (Hr Ahmad – sanad lemah)

Umar bin Abdul Aziz apabila melihat anaknya sedang tidur waktu subuh, beliau mengejutkannya dan berkata:

الأرزاق تقسم وأنت نائم
“Rezeki dibahagi2kan sedangkan engkau tidur.”

Keenam:
Tidur sebelum isya kerana makruh tidur waktu itu. Ini disebut dalam hadis yang panjang, riwayat dari Abi Bakrah ra dimana beliau berkata:

كان يكره النوم قبلها والحديث بعدها
“Baginda tidak suka tidur sebelum solat isya dan sembang-sembang selepasnya.” (Hr Bukhari - sahih)

Ketujuh:
Tidur lepas solat asar.
Nabi saw bersabda:

من نام بعد العصر فاختلس عقله فلا يلومن إلا نفسه
" Sesiapa yang tidur selapas solat asar dan hilang akalnya , janganlah dia mencela melainkan dirinya.” (Hr Abu Ya’la – Sanad lemah)

Kelapan:
Tidur berseorangan di rumah. Hukum ini disebut oleh al-Hulaimi dalam kitabnya al-Minhaj Fi Syu’abil Iman.

Kesembilan:
Perempuan yang tidur menelentang. Ini kerana ianya makruh seperti yang disebut dalam kitab yang sama.
Umar bin Abdul Aziz telah menegah anaknya yang tidur sedemikian.

Kesepuluh:
Seseorang yang tidur meniarap. Baginda melihat seorang lelaki meniarap. Lalu baginda bersabda:

إن هذه ضجعة يبغضها الله ورسوله
Maksudnya: “Sesungguhnya ini adalah cara baring yang dimurkai oleh Allah dan Rasulnya.” (Hr Tirimizi dan Ahmad-hasan lighairihi)

Abu Umamah r.a berkata: Nabi s.a.w lalu dekat seorang lelaki yang tidur meniarap di Masjid. Lalu baginda memukulnya dengan kakinya dan berkata:

قم واقعد فإنها نومة جهنمية

Maksudnya: “Bangunlah kamu dari tidur dan duduklah sesungguhnya ini adalah cara tidur ahli neraka jahannam.” (Hr Ibnu Majah)

Kesebelas:
Mengejutkan orang tidur untuk bangun qiamullail.
Nabi saw bersabda:

رحم الله رجلا قام من الليل فصلى وأيقظ امرأته فإن أبت نضح في وجهها الماء رحم الله امرأة قامت
من الليل فصلت وأيقظت زوجها فإن أبى نضحت في وجهه الماء
“Allah merahmati lelaki yang bangun malam, menunaikan solat dan mengejutkan isterinya. Sekiranya isterinya enggan, dia akan merenjiskan air pada muka isterinya. Allah merahmati wanita yang bangun malam, menunaikan solat dan menegejutkan suaminya. Sekiranya suaminya enggan, dia akan merenjis air ke muka suaminya. (Hr Abu Daud 1308 – perwai2nya thiqah)

Ke dua belas:
Mengejutkan orang yang tidur untuk bangun sahur. Nabi saw bersabda:

إن بلالا ينادي بليل فكلوا واشربواحتى ينادي ابن مكتوم
“Sesungguhnya bilal akan mengumandangkan azan pada waktu malam (sebelum subuh), maka makanlan dan minumlah sehingga Ibnu Maktum mengumandangkan azan subuh.” (Hr Muslim)

Terbiar Leka Kejar Harta

UBAY bin Ka’ab iaitu sahabat Rasulullah SAW meriwayatkan dalam sebuah hadis, baginda bersabda yang bermaksud: “Serigala buas yang dilepaskan di kandang kambing tidak lebih berbahaya daripada cinta harta dan pangkat dalam kehidupan agama seseorang.”

Ketika manusia rakus mengejar kemewahan dunia, ada antara kita kadangkala melampaui batas serta norma kehidupan dengan sanggup melakukan apa saja untuk mencapai matlamat.

Pada waktu dunia akhir zaman ini, kita lihat ramai sanggup memijak serta menindas orang lain demi kekayaan, harta dan pangkat.

Tidak kurang juga manusia seperti berlumba-lumba untuk menjatuh dan mengaibkan seteru atau pesaingnya dalam apa juga bidang.
Halal dan haram tidak lagi menjadi persoalan, buatlah dengan apa cara sekalipun, asalkan memperoleh apa diinginkan.

Namun ketahuilah, setiap yang diusahakan di muka bumi pasti dihitung Allah pada hari pengadilan di Padang Mahsyar.

Sebenarnya, saya tertarik dengan istilah yang disebut oleh seorang ustaz baru-baru ini yang menyebut Allah itu Maha ‘sensitif’.

Perkataan sensitif itu merujuk kepada sifat Allah yang sangat peka seperti dinyatakan Allah di dalam surah Az-Zalzalah ayat 7 dan 8 yang bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).”

Begitulah betapa sensitifnya Allah terhadap setiap apa yang diusahakan hamba-Nya yang mengakui sebagai Muslim di atas muka bumi.

Selagi mana seseorang itu tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu secara zahir, Allah akan melihat dan menilai setiap perbuatannya selagi mana dia bernafas.

Dalam surah Ali-Imran ayat 85, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, tidak akan diterima daripadanya (amalan), dan dia pada hari akhirat kelak daripada orang- orang yang rugi.”

Jika dilihat, Allah tidak menyatakan mereka akan rugi di dunia tetapi akan rugi pada hari akhirat. Apabila Allah menyatakan sedemikian, nescaya mereka akan benar-benar rugi dan merasa teramat sesal pada hari akhirat.

Kerana itu Allah dengan sifat pemurah-Nya mengurniakan segala-galanya bagi mereka (termasuk juga orang Islam) yang mengejar kehidupan dunia dan melupakan hari akhirat. Perkara ini disebutkan oleh Allah di dalam surah Hud, ayat 15 dan 16 yang bermaksud: “Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh al-Quran mengenai sah atau batalnya), Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya.

“Merekalah orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka kerjakan.”

Berdasarkan ayat di atas, tidak hairan mengapa Allah ‘membiarkan’ mereka melakukan apa saja di muka bumi. Mereka bebas untuk tidak menunaikan solat, mengambil rasuah dan memakan hasil riba, memfitnah, mengaib serta menganiaya orang lain dan menipu dalam urusan jual-beli.

Mereka akan terlepas daripada hukuman di dunia tetapi akan berdepan Allah untuk menjawab dosa yang mereka lakukan ketika seluruh anggota berbicara sendiri.

Sebelum itu, seluruh umat manusia akan menerima buku catatan amalan yang terkandung di dalamnya setiap perincian amalan ketika hidup di dunia seperti difirmankan Allah dalam surah Al-Jaathiyah ayat 28 dan 29 yang bermaksud: “Dan (pada hari kiamat) engkau akan melihat tiap-tiap umat berlutut (dalam keadaan cemas dan menunggu panggilan); tiap-tiap umat diseru untuk menerima kitab suratan amalnya (serta dikatakan kepada mereka): “Pada hari ini kamu akan dibalas menurut apa yang kamu kerjakan!

“Inilah surat (tulisan malaikat) Kami, ia memberi keterangan terhadap kamu dengan yang benar, kerana sesungguhnya Kami (perintahkan malaikat) menulis segala yang kamu lakukan (di dunia dulu)!”

Pada hari akhirat, digambarkan kepada kita bahawa manusia akan berjalan ke Padang Mahsyar dalam pelbagai keadaan.

Di dalam surah Al-Isra’, ayat 97, Allah menyatakan, bahawasanya: “... Dan Kami akan himpunkan mereka pada hari kiamat (dengan menyeret mereka masing- masing) atas mukanya, dalam keadaan buta, bisu dan pekak... ”

Dalam Hadis Riwayat Ahmad yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, dinyatakan bahawa Rasulullah berkata, wujud tiga kelompok pada hari akhirat.

Kelompok pertama adalah mereka yang berjalan kaki, kedua adalah mereka yang menunggang kenderaan dan yang terakhir adalah mereka yang berjalan dengan wajahnya (mukanya). Maka bertanyalah sahabat kepada baginda, bagaimana manusia berjalan di atas wajahnya?

Rasulullah menjawab, sebagaimana kamu mempercayai bagaimana Allah membuat makhluk-Nya berjalan dengan kakinya, tentunya Allah boleh menjadikan manusia berjalan di atas wajahnya.

Sesuatu yang paling mulia pada fizikal manusia ialah wajahnya. Selain tempatnya di bahagian atas, Rasulullah mengeji manusia yang memukul atau merosakkan wajah orang lain kerana mulianya wajah manusia itu.

Namun, bagi yang melupakan Allah dan lalai dengan kehidupan dunia, Allah menghina mereka dengan menterbalikkan keadaan dan menjadikan wajahnya sebagai ‘kaki’ untuk berjalan pada hari akhirat. Nauzubillah!

Ketahuilah, Allah tidak melarang manusia berusaha mengecapi kebahagiaan dan kesejahteraan di dunia. Namun, berpada-pada dan jangan lalai dengan suruhan Allah dan menindas serta mengambil hak orang lain.

Firman Allah dalam surah Al-Insyirah, ayat 7 dan 8: “Kemudian apabila engkau selesai (daripada sesuatu amal soleh), bersungguh- sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh lain). Dan kepada Tuhanmu saja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).”


Sumber : MyMetro

6 Perkara Menyebabkan Tangisan Dan Takut Kepada Allah SWT


1. Bertaubat kepada Allah SWT, beristighfar dengan hati dan lidah.

2. Meninggalkan maksiat zahir dan batin serta meninggalkan segala dosa kecil, apatah lagi dosa-dosa besar.

3. Mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan solat, puasa, haji, sedekah, zakat dan segala amalan kebaikkan.

4. Mengingati Akhirat, dunia ini adalah ajakan syahwat, sedangkan kehidupan di Akhirat adalah Hakiki.

5. Mengenali Allah SWT dengan sempurna bermuala dengan Tauhid Rububiyah, Tauhid Uluhiyah, Tauhid Asmau Wassifat dan segala syariatnya.

6. Memperbanyakkan bacaan kisah-kisah orang Soleh dan mengambil pengajaran serta panduan daripada mereka.

Insyaallah.

Diam Itu Lebih Baik

Banyak kelebihannya berdiam diri. Orang yang pendiam itu lebih baik daripada orang yang suka berbicara yang tidak keruan. Baik perangai dan pendiam , kedua-duanya adalah sifat yang baik dan tidak susah mengerjakannya, asalkan hati menyuruh empunya diri berbuat demikian.
Nabi SAW bersabda : “Mahukah kamu aku khabarkan kepadamu, dengan semudah-mudah ibadat dan sesenang-senang atas tubuh,ialah diam dan baik perangai.”
(Riwayat Ibnu Abiddunya dari Shafwan bin Salim).

Jika tidak dapat berkata-kata yang baik lebih baik mendiamkan diri. Berkata baik itu hendaklah kepada semua orang .Ketika Nabi SAW disarankan agar mengutuk orang-orang musyrik,baginda menjawab : “Aku tidak diutuskan untuk (melemparkan) kutukan,tetapi sesungguhnya aku diutuskan sebagai (pembawa) rahmat.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Demikian juga kepada orang bawahan sama ada kerana usia atau pangkat. Anas r.a , pembantu rumah tangga Nabi SAW berkata: “Aku membantu rumah tangga Nabi SAW selama sepuluh tahun dan belum pernah baginda mengeluh “ Ah!” terhadapku dan belum pernah beliau menegur ,kenapa kamu lakukan ini atau kenapa tidak kau lakukan ini? ”
(Riwayat Ahmad)

Ingatlah kepada sabda Nabi SAW : “Seorang Mukmin bukanlah pengumpat ,yang suka mengutuk, yang keji dan yang ucapannya kotor”
(Riwayat Bukhari)

“Barangsiapa yg banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yg banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. dan barangsiapa yg banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya”.
(Riwayat Abu Naim)


HIKMAH BERDIAM DIRI

Manusia berbicara setiap masa. Bicara yang baik akan membawa keselamatan dan kebaikan kepada manusia. Jika bicara tidak mengikut adabnya, manusia akan merana di dunia dan di akhirat. Di dunia akan dibenci oleh manusia lain manakala di akhirat bicara yang menyakiti hati orang lain akan menyebabkan kita tersiksa kekal abadi di dalam neraka Allah SWT.

Bagi mereka yang beriman, lidah yang dikurniakan oleh Allah itu tidak digunakan untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia. Sebaliknya digunakan untuk mengeluarkan mutiara-mutiara yang berhikmah.Oleh  itu, DIAM adalah benteng bagi lidah manusia daripada mengucapkan perkataan yang sia-sia.

Banyak diam tidak semestinya bodoh, banyak bicara tidak semestinya cerdik,
karena kecerdikan itu buah fikiran, orang cerdik yang pendiam lebih baik dari orang bodoh yang banyak bicara.

HIKMAH DIAM

1. Sebagai ibadah tanpa bersusah payah.
2. Perhiasan tanpa berhias.
3. Kehebatan tanpa kerajaan.
4. Benteng tanpa pagar.
5. Kekayaan tanpa meminta maaf kepada orang.
6. Istirahat bagi kedua malaikat pencatat amal.
7. Menutupi segala aib.
Rasullulah bersabda mengenai kelebihan diam yang bermaksud:

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam”. (Riwayat Bukhari & Muslim)
“Barangsiapa diam maka ia terlepas dari bahaya”. (Riwayat At-Tarmizi)
Menasihati orang yang bersalah , tidak salah.
Yang salah memikirkan kesalahan orang.

sumber : www.iluvislam.com & Mujahid & Mujahidah Ansarullah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...